TENAGA pengajar profesional menilai hasil kerja peserta Bengkel Lensa Santai UUM 2016.
TENAGA pengajar profesional menilai hasil kerja peserta Bengkel Lensa Santai UUM 2016.
PEMILIHAN lokasi tepat menghasilkan gambar menarik.
PEMILIHAN lokasi tepat menghasilkan gambar menarik.
PESERTA Bengkel Lensa Santai UUM 2016 mengabadikan kenangan selepas menamatkan program.
PESERTA Bengkel Lensa Santai UUM 2016 mengabadikan kenangan selepas menamatkan program.
Mohd Sharumnisham Shahbudin


Keindahan kampus Universiti Utara Malaysia (UUM) di Sintok, Kedah, bukan sahaja memberi kedamaian kepada warganya tetapi juga mengamit pengunjung luar.

Hutan hujan tropika berusia ribuan tahun mengelilingi kampus dan keindahan lanskap menjadi tarikan utama UUM menarik pelancong dari dalam dan luar negeri.

Tarikan itu mencabar kreativiti 140 jurufoto menyertai Bengkel Lensa Santai 2016 yang berlangsung sekitar kampus utama baru-baru ini.

Penyelaras Program, Mohd Rizal Ismail, berkata bengkel itu anjuran Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan UUM.

Katanya, ia memberi peluang kepada jurufoto merakamkan pemandangan dan aktiviti dalam kampus mengikut kreativiti masing-masing.

“Peserta dibimbing oleh tenaga profesional dari Nikon Malaysia dan Dr Adzrool Idzwan Ismail dari UUM bagi menghasilkan foto terbaik dalam program sehari ini,” katanya.

Menurutnya, peserta didedahkan dengan pelbagai teknik fotografi seperti lanskap dan ‘human interest’ serta proses pengeditan yang sentiasa dilakukan oleh jurufoto profesional.

“Setiap gambar yang diambil peserta akan dinilai dan diberi ulasan oleh tenaga pengajar agar dapat membuat penambahbaikan pada masa depan dalam bidang fotografi.

“Tambahan pula UUM menyediakan pelbagai kemudahan dan tarikan seperti ladang rusa, ekuastrian dan ladang ternakan burung unta yang memberi nilai tambah kepada foto yang dihasilkan,” katanya.

Bagi peserta, Mohd Fazli Mohd Rozi, dia tidak berasa rugi meluangkan masa sehari menghadiri bengkel fotografi ini.

“Selain mendapat banyak ilmu, kami yang baru berjinak-jinak dalam bidang fotografi berpeluang berkenalan dengan ramai jurufoto berpengalaman yang bersedia berkongsi dengan kami,” katanya.

Dia yang menjadikan fotografi sebagai sumber pendapatan sampingan ini mengharapkan penganjur memperuntukkan masa dua hari untuk program pada masa hadapan kerana situasi agak padat dalam bengkel sehari ini.

Peserta, Woo Kwang Yew berkata, penganjur perlu memanjang masa berbengkel kerana ia terlalu padat dan singkat.

“Bengkel ini mendapat sambutan hangat tetapi tenaga pengajar terhad dan tidak mampu menumpukan perhatian kepada semua peserta,” katanya yang datang dari Pulau Pinang.

Menurutnya, bengkel itu menjadi medan pertemuan jurufoto lama dan baru berkongsi pendapat mengenai topik fotografi kerana dalam bidang ini tiada seorang pun yang dapat mengaku dirinya ‘master’ kerana ilmu ini sentiasa perlu dipertingkatkan.

Bagi peserta wanita, Nor Afifah Hasim, berkata sebagai wanita pergerakan agak mencabar terutama terpaksa membawa pelbagai jenis peralatan kamera dan mencari sudut terbaik.

“Soal jantina tidak menjadi penghalang kepada saya untuk mengutip ilmu sebanyak mungkin dalam bengkel ini. Malah saya berasa rugi jika tidak menyertainya kerana dalam bengkel ini ramai nama besar dalam bidang fotografi turut hadir,” katanya.

Dia masih menuntut di UUM bercadang menjadikan bidang fotografi kerjaya sampingan selepas tamat pengajian nanti.

Selain itu, kehadiran seorang peserta dengan bertongkat menarik perhatian peserta lain.

Muhammad Azfar Ariffin yang patah tapak kaki dalam kemalangan dua bulan lepas tetap tidak mahu melepaskan peluang menghadiri bengkel ini.

“Bengkel ini bukan sahaja sarat dengan ilmu fotografi tetapi dapat juga melihat pelbagai jenis dan saiz lensa yang dibawa oleh peserta lain, terutama yang bertaraf profesional,” katanya.

Menurutnya, pemilihan masa dan lokasi juga tepat kerana fotografi bukan sahaja bergantung kepada keindahan lanskap tetapi pengaruh sinaran matahari memberi kesan kepada gambar yang dihasilkan.

Bengkel itu turut dihadiri Pengurus Besar Nikon NFS Malaysia, Mahfooz Rasool yang turut menyampaikan ceramah dan menyampaikan sijil kepada peserta.

Menurut Mahfooz, pihaknya melihat program itu mempunyai impak besar terhadap pencinta seni gambar terutama dalam kalangan pelajar.

Katanya, Santai Lensa 2 kali ini terdapat dua kategori yang mana satu terbuka dan satu lagi khusus untuk pelajar.

“Meskipun Nikon membariskan jenama kamera namun sudut lain kita aktif apabila membabitkan aktiviti pembelajaran dan juga menggalakkan pembangunan seni fotografi. Komitmen Nikon ini sejajar dengan sumbangan kita kepada komuniti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 November 2016 @ 10:37 AM