Oleh Hajahfarhana Tarmudi


Spa (Solus Per Aqua) berasal daripada perkataan Latin yang bererti rawatan menggunakan air yang dirujuk menerusi perkataan Aqua. Ia sudah wujud sejak 400 tahun lalu di Rome.

Sehingga ke hari ini, bidang spa dilihat semakin berkembang dan mendapat perhatian ramai terutama dalam kalangan masyarakat bandar yang begitu mementingkan penampilan diri.

Bukan hanya penampilan, malah kesibukan hari ini dengan pelbagai tugasan dalam satu hari memaksa mereka mencari rawatan untuk memanjakan diri sekali gus membantu mengurangkan keletihan serta tekanan.

Justeru, bagi menyebarkan maklumat berguna dan mendidik individu berminat di bidang spa, kursus Solekan, Urutan dan Pengurusan Perniagaan Spa anjuran NMR Beauty & Wellness Centre diadakan, baru-baru ini.

Menurut pengasasnya, Noraini Mohd Razeli, kursus yang dikendalikan itu merangkumi pengurusan, tugasan dan perkhidmatan yang perlu ada di spa.

"Kursus teori dan praktikal ini diadakan untuk memberi pendedahan dan pengetahuan kepada individu yang berminat dalam bidang ini khasnya pengusaha spa.

"Perkhidmatan spa kini mendapat tempat dalam kalangan wanita hari ini. Justeru, kursus ini dianjurkan memandangkan ia menjadi pilihan wanita masa kini untuk memulakan perniagaan.

"Selain itu, ia turut mendapat pengiktirafan daripada Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dalam bidang terapi spa," katanya.

Ujarnya, banyak kebaikan yang boleh diperoleh peserta di dalam kursus intentif yang diadakan selama dua hari itu. Selepas mengikuti kursus berkenaan, peserta dapat memahami bidang ini dengan lebih mendalam.

Ia sekali gus membuka mata peserta mengenai bidang perniagaan yang berpotensi untuk diceburi kerana ia mampu menjana pendapatan lumayan jika mereka rajin berusaha.

Ia terbuka kepada individu berminat terutama pengusaha spa yang ingin menambah pengetahuan dan membina kerjaya di dalam bidang berkenaan seiring dengan permintaan dan penggunaan teknologi terkini.

"Peserta untuk kursus penuh kebiasaannya dihadkan kepada 10 hingga 20 orang bagi memastikan mereka lebih fokus berbanding jumlah yang lebih ramai.

"Sebagai pegawai latihan vokasional yang dilantik oleh JPK, kami menggunakan pendekatan modul berdasarkan NOSS atau Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (SKPK) yang terkini," katanya.

Tambahnya, kursus berkenaan bukan hanya dapat membantu peserta lebih memahami dan meningkatkan pengetahuan dalam bidang spa, malah mampu melahirkan tenaga mahir yang diiktiraf menjelang 2020.

Tidak berhenti menabur ilmu, Noraini meneruskan usaha dan aktiviti terkini ialah kursus sehari Pengurusan Perniagaan SPA/Salon Kecantikan yang terhad kepada 30 peserta, akan diadakan pada 13 Disember 2014.

Menambah kemahiran

Bagi pemilik D'amani Spa, Alya Amani Alfred, walaupun sudah mempunyai 13 tahun pengalaman dalam bidang spa, dia tidak mahu berhenti belajar ilmu baru.

"Ilmu harus dipelajari kerana hanya dengan itu orang akan hormat kepada kita. Kita tidak boleh menjalankan perniagaan kerana ada duit yang banyak, sebaliknya wang itu perlu dilaburkan dengan ilmu.

"Apabila kita memiliki kelayakan dalam bidang yang diceburi, pelanggan akan lebih yakin untuk berurusan dengan kita. Malah pekerja juga akan lebih menghormati majikan yang berilmu," katanya.

Tambahnya, dia tidak memandang remeh bidang spa kerana ia mempunyai potensi yang baik. Justeru, dia perlu mengikuti kursus anjuran Noraini yang turut menyentuh soal pentadbiran, operasi dan melakukan rawatan dengan baik.

Kursus yang disertai merangkumi semua jenis urutan badan, kaki, belakang dan bahu. Antara jenis urutan yang dipelajari ialah teknik urutan tradisional, Sweden dan Bali. Selain itu, rawatan wajah, kuku kaki dan tangan, solekan serta cara penggunaan mesin terkini juga diajar.

"Pada masa sama, cara penyediaan dan persediaan terhadap rawatan yang akan dijalankan kepada pelanggan juga harus dititikberatkan.

"Di dalam kursus ini, saya memilih modul terapi spa, kecantikan dan urutan. Ketiga-tiga terapi ini meliputi jenis rawatan spa, teknik, penyediaan peralatan dan bahan, jenis mesin, promosi dan membina hubungan baik dengan pelanggan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Disember 2014 @ 5:00 AM