FOKUS mengawal kereta mini masing-masing.
FOKUS mengawal kereta mini masing-masing.
KERETA model disusun sebelum mula berlumba.
KERETA model disusun sebelum mula berlumba.
COMEL kereta model berentap dalam pertandingan itu.
COMEL kereta model berentap dalam pertandingan itu.
SEORANG peserta fokus membaiki kereta RC mini.
SEORANG peserta fokus membaiki kereta RC mini.
SEDIA berlumba.
SEDIA berlumba.
Oleh Nurul Husna Mahmud


Meskipun kereta mini kawalan radio (Radio Control-RC) kelihatan seperti mainan kanak-kanak, siapa sangka pemiliknya perlu berbelanja besar?

Tambah untuk model kereta spesifikasi perlumbaan, bagi mengubah suai serta membeli perkakasan melengkapkan model cilik itu tidak sekadar menelan puluhan ringgit sebaliknya ratusan.

Namun bagi pemilik kereta mini terbabit, ibarat ‘alah bisa tegal biasa’ mengeluarkan sejumlah wang untuk keperluan kereta kecil itu ialah pengorbanan kecil dibandingkan dengan kepuasan dalam memenangi perlumbaan.

Lihat saja reaksi pemilik kenderaan mini yang menyertai Naza Mini RC Challenges 2016 di Naza World Auto Mall, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini, mereka seolah-olah mekanik kereta sebenar apabila membabitkan pengubahsuaian kereta masing-masing.

Mata mereka berkeras menahan kerumitan berdepan dengan alat ganti bersaiz mikro setiap kali mereka membuat pengubahsuaian terhadap kereta ketika pertandingan.

Menurut seorang peserta pertandingan, Abdul Hadi Ismail, semua itu bertitik tolak daripada hasrat untuk memenuhi impian ketika kanak-kanak.

“Kebanyakan antara kami teruja kerana ini adalah impian ketika kanak-kanak yang mana, kami dulu tidak mampu memilikinya.

“Jadi selepas habis belajar serta bekerja, barulah berpeluang membeli kereta kecil. Ia tidaklah murah terutama untuk model kereta RC yang elok seperti dari Jepun contohnya. Model saya miliki ialah jenama Kyosho model MR 03 VE Pro diimport dari Jepun.

“Model asas saja sudah menelan lebih RM800, apatah lagi sudah siap dipertingkat untuk pertandingan mahu saja mencecah RM1,000. Maka, ia bukanlah hobi murah kalau pemiliknya ghairah berlumba. Pengalaman saya sendiri, saya pernah membelanjakan hampir RM2,000 untuk pertandingan peringkat antarabangsa,” katanya.

Tambah Hadi yang sudah lapan tahun aktif dalam perlumbaan kereta RC, di samping menguji kehebatan kereta mini miliknya, teknik kawalan penting memastikan kereta dapat memberi saingan mahupun meluncur laju di atas trek.

“Keseronokan bagi pemilik kereta RC yang berentap ialah, kami tidak saja dapat melihat kelebihan serta kepantasan kereta, kami juga memperbaiki cara mengawal kereta masing-masing.

“Selain itu, dalam pertandingan seperti ini juga dapat berkumpul serta bertanding dengan kenalan sama-sama mempunyai hobi kereta RC,” katanya.

Dia juga berharap untuk menyertai Kyosho Cup di Jepun dan PN Racing (PNWC) iaitu kejohanan dunia bagi kereta kawalan radio diadakan di Itali setiap tahun.

Pelumba baru, Muhamad Syafiq Zainal Abidin berkata, pembabitannya dalam hobi berlumba kereta RC mendapat sokongan keluarga.

“Sudah tiga tahun saya terbabit dengan hobi ini, cuma dibandingkan dengan peserta lain pengalaman saya dalam perlumbaan seperti ini masih cetek.

“Meskipun mereka lebih berpengalaman, mereka tidak kedekut dan sering memberi tip dalam pengendalian serta spesifikasi kereta.

“Belanja beli alat ganti kereta RC selain tabung simpanan, keluarga banyak memberi sokongan termasuklah menemani saya pada setiap pertandingan,” katanya yang turut memiliki model Kyosho MR 03.

Mengenai perbezaan antara model kereta digunakan untuk rekreasi dan perlumbaan, kata Syafiq, trek menentukan perubahan pada kereta.

“Biasanya ketika pertandingan, saya akan lihat trek dan syarat pertandingan sebelum membuat ubah suai model kereta RC. Biasanya saya akan ubah spring dan tayar serta membuat gantian bateri bagi setiap pertandingan kereta RC,” katanya.

Sementara itu, menurut wakil penganjur Jeff Cheong Yuk Shian, pertandingan kali ini menarik lebih 20 penyertaan membabitkan pemilik kereta RC pelbagai model.

“Pertandingan ini ialah kali pertama untuk tahun ini dan ia membabitkan model ‘1/27th Skill Mini RC. Ada tiga pusingan iaitu membabitkan pra kelayakan, masa kelayakan dan pusingan akhir untuk tiga terpantas.

“Model kereta RC terbabit juga pelbagai terutama Mini Dynasti, Kyosho, TA Racing dan Atomic. Semuanya diimport dari Jepun, Amerika Syarikat dan Hong Kong.

“Setiap pusingan membabitkan masa terpantas dikira berdasarkan jumlah pusingan terkumpul dapat dilakukan dalam tempoh lima minit.

“Kami mempunyai sistem pengiraan standard diguna pakai dalam mana-mana pertandingan berdasarkan komputer bersama sistem ‘sensor’ dipasang pada kereta dan trek,” katanya yang juga dari Kelab Mini Z Dynasti.

Dia berharap penganjuran Malaysia Open RC Challenge 2016 akan datang berupaya mengumpul lebih ramai pemain kereta RC berkaliber selain mencatat rekod terbaru diharap mampu memberi saingan peringkat antarabangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 January 2016 @ 5:03 AM