MENDAKI bukit curam antara tugasan peserta dan model 4x4.
MENDAKI bukit curam antara tugasan peserta dan model 4x4.
PERLU meniti titi.
PERLU meniti titi.
KONSENTRASI sangat penting.
KONSENTRASI sangat penting.
ANTARA cabaran ‘hardcore’.
ANTARA cabaran ‘hardcore’.
RALIT melayan RC 4x4 masing-masing.
RALIT melayan RC 4x4 masing-masing.
Oleh Nurul Husna Mahmud


Kereta mini Remote Control (RC) Scale Crawler 4x4 adalah pacuan empat roda merangkak perlahan melepasi laluan berliku, berbatu serta struktur tanah yang tidak rata.

Meskipun kenderaan ‘kenit’ itu yang menggunakan kawalan jauh persis permainan kanak-kanak, harga memilikinya tidaklah murah. Sebaik diteliti harganya, pemilik model kenderaan mini mengatakan mereka perlu sekurang-kurangnya RM500 untuk model asas saja.

Bayangkan spesifikasi serta jenama lebih berkualiti bagi tujuan pertandingan, tentu saja jumlahnya menjangkau ribuan ringgit. Namun, demi minat mendalam terhadap hobi mengendalikan kenderaan terbabit, peminat mainan kawalan jauh tidak mengeluh dan sanggup berhabis untuk memenuhi kepuasan melihat model pacuan mini dapat melepasi ranjau trek.

Seperti pemain yang hadir ketika pertandingan ‘Fun Race Keladi Adventure Track (KAT)’ di Padang Awam AU2 Keramat baru-baru ini, mereka ‘ralit’ dengan dunia sendiri secara tidak langsung membayangkan betapa bermaknanya meluangkan masa dengan permainan itu.

Timbalan Presiden KAT, Hamdy Hashim berkata, biarpun permainan ini seperti keanak-anakan, cabaran mengendalikan kenderaan mini ternyata tidak jauh beza seperti memandu kenderaan sebenar. Itu antara punca permainan ini mendapat perhatian kalangan pemain dewasa.

“Sebenarnya ramai terjebak dalam permainan RC Scale Crawler ini kerana minat terhadap sukan 4x4. Bagi mereka sukan ini tidak jauh bezanya dengan memandu kenderaan berkenaan.

“Pemainnya perlu mempunyai pengetahuan dalam trek serta kaedah melepasi setiap liku. Tidak hairanlah sukan ini dapat perhatian golongan dewasa kerana memerlukan konsentrasi serta skil tinggi,” katanya.

Peserta Kelas Satu, Adwin Wong, 31, berkata dalam perlumbaan kali ini dia menurunkan model G Made Sawback yang agak asing dalam kalangan peminat di Malaysia.

“Model saya turunkan untuk bersaing kali ini ialah model asing dalam pasaran Malaysia. Kalau di Amerika Syarikat jenama crawler ini sudah lama. Justeru dengan pembukaan trek baru dalam ‘fun race’ kali ini, saya anggap ia medan eksperimen bagi menguji kehebatan spesifikasi model jenama ini.

“Berdasarkan ulasan sebelum ini, istimewanya model ini terletak pada ‘suspension’ yang menggunakan ‘leaf spring’. Ia berfungsi memberi kestabilan terutama melepasi selekoh serta trek berbukit.

“Berdasarkan trek kali ini mempunyai beberapa segmen mencabar ketahanan model mini mahupun pengendalinya, saya lihat model G Made Sawback tidak mengalami masalah untuk melepasi selekoh meskipun keadaan trek mendaki,” katanya.

Kata Wong, pemain crawler tidak semestinya menggunakan trek khas, sebaliknya mereka bebas memilih lokasi untuk bermain.

“Menariknya mengenai pemain scale crawler, kami bebas memilih lokasi bermain kerana ia boleh digunakan untuk jalan landai mahupun persekitaran semula jadi seperti hutan.

“Saya gemar membawa scale crawler di tempat ‘off road’ atau trek hutan seperti Kemensah. Selain dapat menguji motokar mini ini, saya dapat mengambil kesempatan untuk beriadah seperti berjalan beriringan dalam hutan.

“Sekurang-kurangnya berpeluh dan dapat menikmati pemandangan dalam hutan. Itu jauh lebih baik daripada memenuhi masa hujung minggu dengan melepak di rumah saja,” katanya.

Sementara bagi peserta Kelas Dua, Mohamad Azahari Zareff, 25, dia mengenali sukan berkenaan menerusi laman YouTube sejak dua

tahun lalu. Dulu pemain terbabit dalam sukan ini tidak ramai tambah pula untuk membelinya juga sukar.

“Saya sendiri membeli menerusi dalam talian kerana tiada kedai menjual. Maklumlah model ini mahal dan tidak ramai pemain RC tahu mengenainya. Saya main seorang diri sehinggalah bertemu dengan kenalan yang memperkenalkan terhadap komuniti sukan berkenaan, KAT.

“Sejak itu saya mula bermain dengan mereka. Rasanya berbeza apabila ada rakan boleh dikongsi me­ngenai pacuan mini ini. Malah daripada mereka saya dapat tahu di mana cari barang untuk ubah suai atau model lebih baik.

“Tambah pula ada trek sebegini, tentu saja hujung minggu lebih meriah dan ada kawasan boleh kami peminat sukan ini berkumpul

untuk bermain bersama,” katanya mengendalikan Axial SLX10 dalam Fun Race terbabit.

Prestasi untuk pertandingan kali ini, kata Azahari bukan hadiah dikejar sebaliknya lebih kepada berseronok bersama teman dengan trek baru.

“Hari ini lumba santai saja untuk mengasah skil selain mencuba trek baru. Tidak banyak ubah suai dilakukan hanya tayar kerana trek kelas dua lebih sukar dan struktur tanah lebih berombak berbanding kelas pertama.

“Jadi ada perubahan kecil untuk model crawler saya pakai berpandukan halangan mahupun kesukaran trek pada kali ini. Meskipun sedikit penat kerana perlu memandu dari Melaka tetapi ia berbaloi dengan pengalaman bersama kawan di sini,” katanya.

Sementara itu, Presiden KAT Mohd Irwan Mohd Hanib berkata, pertandingan kali ini dianjurkan bersempena pelancaran tapak trek terbaru KAT.

Katanya, kelab KAT ialah kelab berdaftar bawah naungan Ulu Kelang Remote Control Club (UKRCC) bagi menghimpun peminat RC Crawler seluruh Malaysia dapat berkongsi hobi sama.

“Selain menghimpunkan peminat RC Crawler serata Malaysia, hari ini kami turut menguar-uarkan mengenai lokasi rasmi buat KAT apabila pembinaan tapak trek ini mendapat kebenaran Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

“Trek baru ini mencapai standard antarabangsa apabila menaruhkan tiga seksyen mewakili spesifikasi atau kelas kenderaan yang ada dalam pertandingan Crawler ini. Kelas 1 ialah kualiti asas dan biasanya trek lebih ringkas.

“Diuji ialah kemampuan pemainnya mengendalikan crawler mereka. Kedua pula mengenai kemahiran perubahan kenderaan mengikut trek jauh lebih mencabar. Biasanya pemilik akan mengubah mengikut kesesuaian trek selain menguji pengendalian pemain.

“Ketiga ialah trek lebih mencabar termasuk laluan mendaki serta selekoh pada struktur jalan tidak rata. Malah ada tugasan tambahan seperti menyeberangi jambatan mahupun laluan sempit tanpa melebihi laluan.

“Jadi harapan saya dengan adanya kemudahan trek seperti ini, lebih ramai akan turun memeriahkan hujung minggu di sini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Februari 2016 @ 5:02 AM