ZAKUAN menggunakan hobi untuk mendidik anak supaya sayangkan harta sendiri.
ZAKUAN menggunakan hobi untuk mendidik anak supaya sayangkan harta sendiri.
Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib

Deretan ratusan kereta mini di dalam almari khas di ruang tamu pasti menarik perhatian sesiapa saja yang berkunjung ke rumah Nur Zakuan Mustapha, 39, di Ipoh, Perak. Berdiri di hadapan almari berkenaan seolah-olah berada di tempat pameran kereta berskala kecil.

Memiliki hobi unik mengumpul lebih 200 replika kereta bersaiz kecil, Zakuan mengakui begitu teliti dalam soal menjaga koleksinya itu dengan sebahagiannya dipamerkan di dalam almari manakala sebahagian pula masih berbungkus cantik dan disimpan dengan cermat.

Zakuan berkata, dia mula mengumpul koleksi replika kereta itu sejak zaman kanak-kanak dan mula serius dengan hobi itu pada 1998 dan meneruskannya sehingga hari ini.

Mungkin minat itu dipengaruhi oleh bapa dan adiknya kerana mereka juga adalah peminat kereta. Tidak hairanlah jika 'bahang' minat itu turut menyelinap dalam jiwanya.

"Hobi saya ini tidak mahal kerana saya memilih mengumpul replika bersaiz kecil yang berskala antara 1:18 hingga 1:64 (60 kali lebih kecil daripada saiz asal). Setiap satu replika itu harganya tidak terlalu mahal.

"Sehingga hari ini boleh dikatakan saya memiliki semua jenama replika kereta, antaranya Autoart, Kyosho, Hotwheels, HPI dan Minichamps. Saya juga menyertai kelab peminat hobi ini iaitu Malay Diecasters Community (MDC) dan Ipoh Hotwheel Collector (HWCI) yang mengadakan perjumpaan seminggu sekali bagi berkongsi cerita mengenai model baru di pasaran dan cara penjagaan koleksi masing-masing," katanya.

Bapa kepada tiga anak itu berkata, dia memilih mengumpul replika kereta bersaiz kecil kerana ia tahan lama dan tidak mudah rosak.

"Kebanyakan replika dihasilkan menggunakan plastik, namun ada juga diperbuat daripada besi yang ditempa khas.

"Ia juga mudah diperoleh kerana banyak dijual di pusat beli-belah dan jika mahu mendapatkan lebih banyak koleksi, saya membeli melalui rakan kelab, pengumpul lain, secara dalam talian malah membuat pertukaran koleksi secara suka sama suka dengan pengumpul lain," katanya.

Menurut Zakuan, apa yang dilakukannya itu bukan semata-mata memenuhi minat kerana menerusi hobi itu dia dapat mendidik anaknya supaya sayangkan harta sendiri.

Katanya, dia bersyukur kerana isteri tidak menghalang minatnya, malah turut sama membantu menambah koleksi dimiliki.

"Jika isteri secara tidak sengaja terjumpa kedai menjual replika kereta, pasti ada yang akan dibawa pulang. Malah dia juga sanggup membelinya secara dalam talian koleksi dari luar negara untuk diberikan sebagai hadiah ulang tahun kelahiran dan perkahwinan kami," katanya.

Siapa yang tidak tertarik melihat deretan kereta mini yang tersusun cantik dan dijaga dengan baik. Zakuan tersenyum apabila mengenangkan ada tetamu yang berkunjung ke rumahnya mahu membeli koleksinya kesayangannya itu.

"Saya tidak menjual koleksi kereta yang dikumpul sejak sekian lama walaupun ditawarkan dengan harga yang tinggi. Setiap koleksi itu mempunyai nilai sentimental untuk saya dan pastinya ia tidak boleh dinilai dengan wang lebih-lebih lagi jika ia pemberian dari isteri tersayang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 January 2015 @ 5:04 AM