ABDUL Haiyye mengubah suai sebuah model kit kereta miliknya.
ABDUL Haiyye mengubah suai sebuah model kit kereta miliknya.
SEBAHAGIAN daripada koleksi model kit kereta milik Abdul Haiyye.
SEBAHAGIAN daripada koleksi model kit kereta milik Abdul Haiyye.
MASANYA banyak dihabiskan kerana hobi ini berbanding melepak bersama rakan.
MASANYA banyak dihabiskan kerana hobi ini berbanding melepak bersama rakan.
Fatin Farhana Japre


Hebat menghasilkan model kit kereta, Abdul Haiyye Abdul Rahman, 16, kini menjadi tumpuan peminat antarabangsa kerana bakatnya yang luar biasa.

Memang meminati kereta mewah dan ‘ganas’ sejak kecil, Abdul Haiyye berkata dia mula berjinak-jinak mempelajari ilmu menghasilkan model kit kereta sejak empat tahun lalu.

“Hobi bermula sejak kecil dengan mengumpul kereta mainan tetapi ketika itu saya memang tidak tahu kewujudan model kit kereta.

“Sejak memiliki akaun Facebook (FB) pada usia 12 tahun, saya mula tahu mengenai model kit kereta menerusi satu komuniti di FB (12Twentyfour). Saya membeli replika kereta model Honda EG6 dan cuba mengubahsuainya sendiri.

“Saya nekad mempelajari menghasilkan model kit kereta menerusi rakan dari luar negara di Internet kerana menghadapi kesukaran melengkapkan model itu.

“Kira-kira tiga bulan, saya sudah mahir mengecat dan melengkapkan model kit kereta sehingga sekarang.

“Saya sehingga kini masih tidak percaya dipilih menjadi ahli kumpulan 12Twentyfour dan saya satu-satunya dari Malaysia manakala tiga ahli lagi dari Afrika, Hong Kong dan Amerika Syarikat,” kata anak bongsu daripada enam beradik ini.

Kata Abdul Haiyye, dia semakin teruja mengubah suai model kit kereta mengikut rekaannya sendiri dan sanggup menghabiskan masa selama tiga jam setiap malam untuk menghasilkannya.

“Apabila semakin mahir, saya mengubah suai model kit kereta mengikut rekaan sendiri dengan menukar rim tayar, merendahkan kereta dan sebagainya. Namun ada sesetengah barang yang sukar didapati seperti rim tayar model Tamiya yang menyebabkan harga model kit kereta semakin mahal.

“Hobi ini boleh dikategorikan sebagai ‘hobi mahal’ kerana peralatan dan alat ganti hanya boleh didapati di kedai tertentu. Memandangkan saya masih bersekolah, semua kos yang perlukan dibantu ibu bapa selain menggunakan duit simpanan sendiri.

“Model kit kereta paling mahal berharga RM200 model BMW M3 kerana ia edisi khas dan diimport dari Jepun. Manakala paling murah model Nissan Silvia berharga RM80,” katanya yang menggunakan Instagram @haiyye1 untuk memuat naik gambar koleksi dan proses ubah suai model kit keretanya.

Kata anak kelahiran Selangor ini lagi, tidak dinafikan masa remajanya banyak dihabiskan mengubah suai model kit kereta ini berbanding melepak bersama rakan.

“Setiap kali pulang dari sekolah, saya akan mengubah suai kereta di dalam bilik. Ini kerana setiap model mengambil masa paling cepat seminggu dan paling lama empat bulan untuk siap sepenuhnya.

“Proses ubah suai boleh dikatakan rumit kerana saya perlu kreatif, teliti dan sabar mengikut reka bentuk yang dikehendaki, tambahan pula saiz kereta sangat kecil.

“Kini koleksi model kit kereta milik saya mencecah 30 unit dan terdapat dalam pelbagai saiz serta model seperti Nissan Skyline, Subaru WRX dan Toyota GT86,” katanya yang mahu memiliki kereta impian model BMW E6 M3.

Menurutnya, koleksi tidak pernah dijual dan hanya mengambil upah pemasangan kereta untuk rakan terdekat saja walaupun setiap unit boleh terjual dengan harga RM350.

“Saya sayang ‘gila’ semua koleksi model kit kereta milik saya kerana ia dihasilkan dengan jiwa raga.

“Sekarang ini saya mahu mengumpul lebih banyak koleksi ‘rare’ dan menjadikan hobi ini sebagai kerjaya suatu hari nanti sekali gus berharap hobi ini mampu mencuri tumpuan di mata dunia,” katanya yang bercita-cita menjadi seorang pereka kereta atau bertugas dalam bidang automotif.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Julai 2017 @ 3:14 PM