TERAPI menyediakan bahan mandian iaitu campuran susu dan mawar untuk pelanggan.
TERAPI menyediakan bahan mandian iaitu campuran susu dan mawar untuk pelanggan.
URUTAN aromaterapi mampu memberi kelegaan terutama selepas penat bekerja.
URUTAN aromaterapi mampu memberi kelegaan terutama selepas penat bekerja.
URUT kaki menggunakan garam dan susu turut disediakan.
URUT kaki menggunakan garam dan susu turut disediakan.
Oleh Siti Zarinah Sahib


Benarkah mandi susu mampu mencerahkan kulit serta menjadikannya lebih halus dan mulus? Percaya atau tidak amalan mandi susu sudah diamalkan sejak zaman pemerintahan kerajaan Mesir purba apabila permaisuri Cleopatra yang terkenal dengan kecantikan dan kebijaksanaannya menjadikan mandi susu sebagai rutin dalam rawatan kecantikannya.

Dia dikatakan menggunakan susu kambing yang ditabur kelopak mawar sebagai bahan mandian. Gabungan kedua-dua bahan ini mempunyai kebaikan tersendiri kerana susu jika diminum bukan saja membekalkan nutrisi untuk kekuatan otot dan tulang bahkan mengandungi dua jenis asid semula jadi iaitu laktik dan alfa hidroksi (AHA) yang kini banyak dicampurkan dalam bahan kecantikan. Malah ia juga dikatakan turut membantu dalam rawatan antipenuaan secara lembut.

Mawar pula sejak zaman Romawi dan Yunani kuno digunakan sebagai wangian mandian. Mereka juga menggunakan kelopak mawar dalam perubatan ayurveda untuk detoksifikasi serta menenangkan fikiran dan tubuh.

Menyedari kebaikan dalam mandi susu dan mawar, wanita digalakkan menggunakan dua bahan campuran ini dalam rawatan kecantikan tubuh mereka. Sama ada dilakukan sendiri di rumah atau mengunjungi spa dan pusat kecantikan banyak manfaat diperoleh daripada mandi susu.

Menurut Pengurus Spa Anggun, Hotel Maya Kuala Lumpur, Siti Nurbazilah Hasan, mandi susu adalah rawatan kecantikan terbaik yang membantu membuang sel kulit mati dan melembapkan kulit. Campuran kelopak mawar pula merangsang minda, melegakan tubuh yang kepenatan, menghilangkan bau badan dan merawat masalah kulit ringan.

Bagi pasangan yang bercadang melangsungkan perkahwinan, mandi susu dan mawar dapat mengurangkan rasa gemuruh sekali gus menjadikan wajah lebih berseri. Ini kerana bunga sering dikaitkan dengan wanita.

Pemberian sejambak mahupun sekuntum bunga akan membuatkan wanita gembira dan ceria. Begitu juga sekiranya diletakkan dalam mandian, kerana bunga mempunyai aura tersendiri yang mampu menukar emosi daripada sedih kepada ceria.

“Sebaiknya pasangan yang ingin melangsungkan perkahwinan harus datang ke spa tiga atau empat hari sebelum majlis bagi membelai tubuh serta merehatkan badan. Mereka akan melalui proses utama seperti urutan dan lulur menggunakan bahan semula jadi sebelum berendam di dalam tab mandian yang dipenuhi susu dan kelopak mawar 15 hingga 20 minit,” katanya.

Sebelum rawatan bermula pelanggan digalakkan mandi wap bagi melembutkan kulit badan. Selepas itu mereka akan diberikan secangkir teh herba suam yang memberikan kelegaan berganda.

Untuk pakej mandi susu rawatan bermula dengan menyental badan menggunakan campuran mawar yang bukan saja memberikan haruman semula jadi kepada kulit tetapi menjadikan kulit lebih mulus.

“Ketika kulit badan disental, juru terapi lain akan menyediakan bahan mandian di dalam tab mandian agar kebaikan susu dan haruman mawar bersatu. Kemudian pelanggan akan berendam di dalam tab selama 15 hingga 20 minit sebelum beredar untuk diurut menggunakan teknik urutan aromaterapi,” katanya.

Menggunakan khidmat terapi tempatan yang memiliki pengalaman sekurang-kurangnya lapan tahun dalam bidang kecantikan, ia memberikan kelebihan kepada Spa Anggun untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan.

Spa Anggun menyediakan enam bilik rawatan menggunakan nama herba seperti Badam, Pandan, Cengkih, Sirih, Serai dan Pudina serta kolam hidroterapi bagi membolehkan pelanggan mendapatkan khasiat apabila berendam di dalamnya.

Rawatan lain yang turut disediakan ialah terapi relaksasi, tradisional, signatur Maya, Maya serentak, ayurveda shirodhara dan beberapa jenis urutan mengikut kaedah Bali, tradisional Melayu dan Thai serta urut menggunakan batu. Harga yang dikenakan bagi pakej rawatan ini ialah RM480, namun istimewa untuk pembaca Harian Metro adalah RM336 saja, selagi tawaran masih ada.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mei 2015 @ 12:13 PM