MATA dijamu dengan dekorasi mewah serba moden.
MATA dijamu dengan dekorasi mewah serba moden.
SUSUN atur yang kemas dan dilengkapi jakuzi untuk keselesaan pengunjung.
SUSUN atur yang kemas dan dilengkapi jakuzi untuk keselesaan pengunjung.
GABUNGAN tiga urutan menampilkan teknik unik yang menjadi tanda pengenalan spa berkenaan.
GABUNGAN tiga urutan menampilkan teknik unik yang menjadi tanda pengenalan spa berkenaan.
Oleh Hajahfarhana Tarmudi

Terletak di tingkat dua Hotel Pullman Putrajaya Lakeside, mata terpesona dengan dekorasi indah bahagian luar Fit and Spa Lounge yang dihias kemas.

Menekankan konsep tradisi yang digabung bersama gaya urban dan mewah yang melatari dekorasi itu bertambah lengkap dengan pemilihan alunan irama Bali bersama dendangan bunyian fauna.

Tanpa berlengah, kaki terus melangkah ke ruang dalam spa berkenaan lantas mata dihidangkan dengan susun atur bilik yang kemas, tempat menunggu dan ruang rawatan kaki yang menonjolkan konsep mewah.

Terdapat sembilan bilik berkonsepkan spa yang dilengkapi jakuzi bagi pengunjung yang mahukan keselesaan tatkala melakukan rawatan.

Setiap bilik diberi nama bunga dalam bahasa Perancis seperti Orchidee (orkid), Marguerite (daisi), Mimosa (daun semalu) dan Lavande (lavender).

Di ruang rawatan untuk badan dan muka, hiasan lilin dengan lampu malap pasti menenangkan. Malah, pengunjung juga boleh memilih sama ada mahukan bilik untuk perseorangan atau bersama pasangan.

Sebelum rawatan dimulakan, setiap pengunjung perlu mengisi borang mengenai diri sendiri bagi mendapatkan maklumat ringkas mengenai tahap kesihatan mereka.

Seterusnya, jika mahu melakukan urutan mahupun rawatan badan, ia dimulakan dengan cucian kaki menggunakan air suam dan sabun khas selama tiga hingga lima minit untuk menjaga kebersihan antara juruterapi dan pengunjung.

Jika mahu menghilangkan keletihan dan mengurangkan tekanan kerja, pengunjung boleh mencuba pakej rawatan Fit and Spa Signature Massage.

Teknik urutan uniknya menggabungkan konsep 1Malaysia iaitu gaya Melayu, Cina dan India. Badan diurut menggunakan minyak aromaterapi bersama gabungan teknik sentuhan yang melegakan selama 90 minit.

Sentuhan urutan secara lembut, sederhana atau kuat mengikut keinginan pengunjung akan disempurnakan bersama minyak aromaterapi seperti bergamot, kayu cendana dan ylang ylang bagi membangkitkan rasa tenang.

Selain urutan, spa yang dibuka setiap hari bermula 10 pagi hingga 10 malam itu turut menawarkan rawatan lulur badan, muka, kuku dan tidak ketinggalan pakej lengkap seluruh badan.

Rawatan lulur badan tidak kurang menariknya. Rawatan pakej lulur Royal Javanese yang menggunakan cara tradisional daripada masyarakat Jawa itu menggunakan bahan semula jadi seperti kunyit dan serbuk beras untuk menjadikan kulit lebih halus serta gebu.

Selain itu, ada juga lulur menggunakan bahan seperti serbuk kopi dan koko yang mempunyai kelebihan sebagai antioksidan dan antiselulit di samping harumannya yang membangkit mood lebih positif.

Spa yang dibuka sejak 1 Mac 2010 itu bukan saja menawarkan rawatan untuk wanita, malah golongan lelaki. Pakej Restorer dan Ultimate Kama Sutra yang ditawarkan untuk lelaki itu mengandungi rawatan muka, kaki, lulur badan dan urutan.

Pengunjung turut berpeluang menikmati diskaun sehingga 30 peratus untuk pakej spa ketika Happy Hours bermula 10 pagi hingga 2 petang setiap hari.

Bukan itu saja, terdapat juga promosi bilik pakej dua hari satu malam untuk dua orang dengan hanya RM500. Lebih memuaskan hati apabila pengunjung berpeluang merasai keunikan rawatan spa selama 60 minit untuk dua orang yang bernilai RM400 kerana ia termasuk dalam pakej berkenaan.

Untuk maklumat lanjut, layari [email protected].

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Oktober 2014 @ 5:31 AM