FADHLINA beramah mesra dengan orang ramai yang hadir pada majlis berbuka puasa di Masjid Daerah Seberang Perai Selatan hari ini. FOTO Bernama
FADHLINA beramah mesra dengan orang ramai yang hadir pada majlis berbuka puasa di Masjid Daerah Seberang Perai Selatan hari ini. FOTO Bernama
Nur Izzati Mohamad


Nibong Tebal: Kementerian Pendidikan (KPM) akan melihat ekosistem sekolah secara keseluruhan sebelum membuat keputusan sama ada sesuai untuk mewujudkan perjawatan warden asrama bukan dalam kalangan guru.

Menterinya Fadhlina Sidek berkata, pihaknya sebelum itu sudah mendengar beberapa pandangan yang dikemukakan berhubung isu itu dalam mengurangkan beban tugas dihadapi guru disamping mengatasi kes buli di asrama sekolah.

"Saya fikir barangkali apa yang kita perlu dilihat adalah ekosistem sekolah secara keseluruhan sama ada sesuai atau tidak melantik orang lain sebagai warden.

"Jika ada keperluan dan keutamaan ketika ini kita akan pertimbangkan. Kita berterima kasih kepada semua pandangan (yang diberikan).

"Bagaimanapun, apa yang paling penting adalah tanggungjawab semua untuk membanteras buli, jangan normalisasikan buli ini dan kita kena perkukuhkan semua ekosistem yang ada untuk memastikan gejala buli ini benar-benar dapat ditangani di semua peringkat khususnya sekolah," katanya

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung pandangan beberapa pihak yang meminta KPM mempertimbangkan untuk mewujudkan perjawatan warden bukan dalam kalangan guru.

Ia adalah bagi mengurangkan beban tugas guru selain mengatasi kes buli yang dilihat semakin berleluasa walaupun pelbagai langkah termasuk garis panduan berhubung buli sudah dikeluarkan KPM.

Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, pihaknya sentiasa memperkemaskan garis panduan apabila ditambah baik dari semasa ke semasa bagi mengatasi isu buli termasuk buli siber.

"Saya juga minta untuk ibu bapa sama-sama dengan pihak KPM dan guru untuk memberikan tumpuan kepada anak-anak kita.

"Disamping itu, kita juga sedang memperkasa guru kaunseling untuk memberi sokongan kepada ekosistem disiplin di sekolah termasuk juga guru disiplin kita dan ini semua yang saya sebut tadi ekosistem ini penting.

"Ia tidak boleh berlangsung hanya dengan peranan KPM sahaja tetapi semua pihak termasuk seluruh komuniti untuk memastikan gejala ini benar-benar kita dapat perangi di peringkat akar umbi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mac 2024 @ 9:29 PM