GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nurul Sabrina Jamali


Kuala Lumpur: Pengumuman 10 inisiatif sempena Sambutan Hari Guru 2023 adalah jalan terbaik bagi memperkasakan sistem pendidikan di Malaysia serta memberi semangat kepada guru untuk terus membimbing pelajar.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia Fouzi Singon berterima kasih kepada Kementerian Pendidikan (KPM) kerana sentiasa mencari jalan meningkatkan kesejahteraan guru.

Katanya, beliau bersetuju dengan inisiatif pengambilan guru baharu bagi menampung kekurangan guru sedia ada dalam membantu meningkatkan taraf pendidikan di negara ini.

"Usaha ini dilihat sangat cemerlang kerana ada negeri yang masih terdesak melantik tenaga pengajar tetapi semua itu harus mengikut garis panduan ditetapkan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, hasrat perluasan Sekolah Model Khas Komprehensif 9 (K9) juga baik untuk melahirkan lebih ramai murid pedalaman dan Orang Asli berpendidikan tinggi.

Semalam, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek mengumumkan 10 inisiatif berkenaan yang disifatkannya sebagai pembakar semangat baharu serta hadiah kepada guru.

Antara inisiatif yang dibentangkan termasuk peluasan Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK) ke Sabah dan mempertingkatkan pesanan kumpulan Guru Insani Malaysia.

Selain itu, usaha KPM dengan kerjasama rakan strategik turut menyediakan peluang merehatkan minda melalui Program Cuti-Cuti Cikgu mampu milik kepada semua guru.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Ikatan Guru Muslim Malaysia Mohd Azizee Hasan berkata, pihaknya berpendapat inisiatif itu dapat meningkatkan usaha menyelesaikan isu yang masih membelenggu golongan pendidik.

"Sebahagian inisiatif ini menyelesaikan masalah infrastruktur, mengatasi keciciran murid serta merapatkan jurang pendidikan bandar dan pedalaman," katanya.

Menurutnya, beliau tertarik dengan usaha KPM menyelesaikan isu kekurangan guru dengan memperkasakan peranan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan Malaysia untuk pengambilan guru baharu.

"Perkara ini termasuk dalam perluasan K9 bagi menangani keciciran murid dalam pelajaran.

"Bagi saya, guru insani sewajarnya membawa aspirasi komuniti dan menjadi pemangkin ke arah membina generasi madani," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Mei 2023 @ 2:11 PM