Nur Izzati Mohamad


Butterworth: Kementerian Pendidikan (KPM) akan menjalankan siasatan berhubung seorang murid di negeri pantai timur didakwa tidak mahu ke sekolah kerana emosinya terganggu selepas digigit guru.

Timbalan Menteri Lim Hui Ying berkata, KPM mengesan satu hantaran di media sosial berhubung insiden itu dan kini mengambil tindakan selanjutnya.

"Kita akan jalankan siasatan lanjut dan jika ada kes sebegitu (murid digigit guru) tindakan sewajarnya akan diambil.

"Dalam hal ini, KPM tidak pernah membenarkan ia berlaku dan sentiasa mengambil langkah pencegahan untuk memberi kesedaran kepada murid serta pelajar. KPM tidak sesekali berkompromi dalam isu seumpama ini," katanya.

Lim ditemui selepas mengadakan lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bagan Jaya, di sini hari ini.

Dalam hantaran tular itu, ibu murid terbabit hairan selepas anaknya sering bertanya soal cuti sekolah dan tidak ceria seperti selalu.

Pada mulanya, wanita itu beranggapan anaknya menjadi mangsa buli sehingga akhirnya terbongkar kisah anaknya digigit seorang guru lelaki hingga takut untuk ke sekolah.

Dia turut mendakwa beberapa murid lain menjadi mangsa apabila guru itu menggigit bahagian tidak sepatutnya seperti mulut, tangan dan telinga.

Sementara itu, Lim berkata, KPM juga tidak berkompromi terhadap dakwaan berlaku elemen buli terhadap pelajar yang mencekik adiknya sehingga mati di Melaka, baru-baru ini.

"Kes ini dalam siasatan pihak polis dan kita juga (KPM) turut menjalankan siasatan sewajarnya terhadap dakwaan buli itu," katanya.

Terdahulu, beliau mengumumkan peruntukan RM500,000 untuk naik taraf dan penyelenggaraan SMK Bagan Jaya, malah Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng yang turut hadir menyumbang RM200,000 bagi pemasangan alat pendingin hawa di bilik guru.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Julai 2023 @ 1:36 PM
Lim Hui Ying mengulas isu seorang guru lelaki didakwa mengigit telinga dan bibir seorang kanak-kanan di sebuah sekolah di kelantan dalam sidang media sempena lawatan kerja di Sekolah Menengah Kebangsaan Bagan Jaya di sini. FOTO DANIAL SAAD
Lim Hui Ying mengulas isu seorang guru lelaki didakwa mengigit telinga dan bibir seorang kanak-kanan di sebuah sekolah di kelantan dalam sidang media sempena lawatan kerja di Sekolah Menengah Kebangsaan Bagan Jaya di sini. FOTO DANIAL SAAD