GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Norsyazwani Nasri


Mukah: Polis menahan lima pelajar tingkatan lima sebuah sekolah menengah di sini, bagi membantu siasatan kes buli seorang pelajar, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superintendan Muhamad Rizal Alias berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kes itu yang didakwa berlaku di asrama sekolah berkenaan pada 27 Mac lalu.

"Kejadian pertama berlaku di dorm asrama lelaki pada 25 Mac jam 9.30 malam apabila mangsa pelajar tingkatan dua dicederakan di bahagian dada dan belakang badan oleh beberapa pelajar senior.

"Suspek menuduh mangsa menghilangkan seluar yang dibasuh oleh mangsa," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, kejadian kedua berlaku pada 26 Mac jam 9.30 malam di tempat yang sama, mangsa sekali lagi dicederakan secara fizikal di bahagian dada, perut dan kemaluan.

"Mangsa dihantar ke Hospital Bintulu untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut sehingga semalam.

"Lima suspek berusia 17 tahun sudah ditahan dan kes disiasat di bawah Seksyen 506, 377CA dan 323 Kanun Keseksaan," katanya.

Katanya, kesemua suspek direman selama empat hari bagi melengkapkan siasatan.

"Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kes ini yang boleh menimbulkan kegusaran awam.

"Pihak polis akan mengambil tindakan tegas berdasarkan peruntukan undang-undang terhadap mereka yang terbabit dengan kes buli ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mac 2024 @ 5:46 PM