Gambar Hiasan
Gambar Hiasan
Melvin Joni


DIBELASAH sehingga dua jam sebelum dibenarkan tidur, itulah nasib tiga pelajar Tingkatan 1 yang dibuli pelajar senior di asrama sebuah sekolah menengah di Padawan, Ahad lalu.

Difahamkan, tiga pelajar asrama terbabit dipukul lebih 10 pelajar senior yang dikatakan ‘gengster asrama’ itu kira-kira 1 sehingga 3 pagi sebelum mereka dibenarkan tidur.

Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Aidil Bolhassan berkata, kejadian itu menyebabkan ketiga-tiga mangsa yang berusia 13 tahun terbabit lebam pada lengan, perut, belakang, betis dan bahu.

Menurutnya, semua mangsa ditumbuk dan diterajang oleh kumpulan pelajar senior yang berusia antara 15 hingga 17 tahun .

“Keesokannya, seorang daripada mangsa buli menghubungi bapanya memaklumkan kejadian dan membuat laporan polis, disusuli dengan laporan oleh keluarga dua lagi mangsa.

“Usaha mengesan suspek dijalankan semalam dan seramai 10 pelajar sudah ditahan setakat ini,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Katanya, semua suspek sudah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Padawan untuk disoal siasat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 January 2020 @ 12:21 PM