Foto hiasan
Foto hiasan
Oleh Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Seorang pelajar Tingkatan Dua Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Balik Pulau di sini, ditahan bagi membantu siasatan menyebabkan rakannya cedera di muka disyaki dibuli.

Difahamkan bapa mangsa membuat laporan polis berhubung kejadian yang menimpa anaknya pada Khamis lalu itu.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Khaw Kok Chin berkata, siasatan mendapati berlaku tolak-menolak antara suspek dengan mangsa berusia 14 tahun itu sebelum terjatuh dari tangga.

"Akibat kejadian itu mangsa mengalami kecederaan pada anggota badan dan menerima rawatan di hospital.

"Pada awalnya kita mohon reman ke atas pelajar berkenaan namun dia dibebaskan dengan jaminan polis selepas selesai dirakam keterangan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sini, hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan kecederaan parah terhadap mangsa.

Mengulas lanjut, Kok Chin berkata, kedua-dua pelajar yang terbabit adalah rakan sekelas.

Beliau berkata, pihaknya kini dalam proses melengkapkan siasatan bagi diserah kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk tindakan lanjut.

Difahamkan dalam kejadian jam 11.40 malam itu, mangsa ditolak ketika berada di tangga salah satu blok bangunan institusi berkenaan.

Bapa mangsa dikatakan membuat laporan polis susulan doktor yang merawatnya mendakwa kecederaan itu bukan disebabkan kemalangan (non accidental injuries).

Sementara itu Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menerusi hantaran di Facebook beliau turut memaklumkan bahawa pihaknya akan mendapat maklum balas berhubung kejadian itu daripada pihak berkaitan.

"Saya akan minta laporan segera daripada pihak MRSM. Kalau benar kes buli, tiada kompromi dan boleh dibuang sekolah," katanya.

Pada 21 Mei lalu dalam kes berlainan di institusi pendidikan yang sama, Harian Metro melaporkan seramai lima pelajar Tingkatan Lima sekolah berkenaan ditahan bagi membantu siasatan kes buli seorang pelajar Tingkatan Tiga.

Difahamkan, kejadian jam 11 malam pada 18 Mei itu berlaku di tandas lelaki Blok B bangunan institusi pendidikan berkenaan apabila seorang pelajar Tingkatan Tiga dipukul dengan alasan lambat turun solat Subuh.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Mei 2023 @ 3:57 PM