GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Nur Izzati Mohamad


PELAJAR lelaki tingkatan dua cedera dipukul sekumpulan pelajar lain di koridor blok asrama sekolah menengah di Kepala Batas, 3 pagi Sabtu lalu.

Mangsa berusia 14 tahun itu hadir di Balai Polis Kepala Batas, 8.50 malam tadi untuk membuat laporan berhubung insiden berkenaan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, mangsa memaklumkan dalam kejadian 3 pagi itu, dia mengalami lebam pada betis kanan dan kesan luka calar pada bahagian kanan dada akibat dipukul.

"Menurut mangsa, kejadian itu berlaku berpunca daripada salah faham hingga mendatangkan rasa tidak puas hati seorang pelajar Tingkatan Empat kerana diejek dan ditertawakan.

"Ia menyebabkan secara tiba-tiba berlaku pergaduhan dan menjadikan mangsa seorang daripada individu dipukul, ditampar dan ditendang dengan sekumpulan pelajar senior terbabit,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, mangsa memberitahu dia dipukul 15 daripada 30 pelajar yang menyaksikan kejadian itu.

“Selain mangsa, terdapat tiga pelajar lain yang turut menjadi mangsa pukul namun mereka belum lagi membuat laporan.

"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan," katanya.

Sementara itu, Noorzainy berkata, polis sedang mengesan tiga individu yang terbabit dalam kejadian rusuhan yang mendatangkan kecederaan di pusat hiburan dekat Jalan Ong Yi How, Butterworth, awal pagi semalam.

Katanya, dua daripada lima suspek berusia 21 dan 39 tahun sudah ditahan dalam serbuan berasingan yang diadakan pada 11 malam tadi serta kini direman selama tujuh hari bagi siasatan mengikut Seksyen 148 dan 326 Kanun Keseksaan.

Dalam kejadian itu,seorang lelaki parah akibat terkena libasan parang dan pedang samurai oleh sekumpulan suspek yang berang selepas mereka ditegur kerana berada di belakang kereta mangsa dan menghalang laluan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 January 2018 @ 7:18 PM