Noor Hidayah Tanzizi

[email protected]

KEMPEN 'adopt, don't shop' perlu diperluaskan dan dipertingkatkan dalam kalangan masyarakat setempat.

Ia sebagai usaha menjaga kebajikan haiwan jalanan, sekali gus mengurangkan populasi lambakan haiwan berkenaan.

Justeru, kini giat dilaksanakan Program Kegembiraan Mouthgasm bersama kucing jalanan anjuran Mouthgasm Sdn Bhd dalam meningkatkan kesedaran masyarakat untuk mempunyai belas ihsan terhadap haiwan.

Pada masa sama memainkan peranan terhadap haiwan jalanan atas dasar keprihatinan dengan tidak menyakiti sebaliknya menyelamatkan haiwan itu.

Pengurus Jualan Mouthgasm Sdn Bhd, Mohd Firdaus Aizam Tajol Auros berkata, program itu membabitkan kerjasama dengan aktivis haiwan, Nurul Ain Abdul Hamid dan ia juga antara inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) pihaknya yang cakna dengan haiwan jalanan.

"Biarpun sebagai syarikat pengeluar makanan berasaskan coklat, namun kami cakna dengan nasib haiwan jalanan dan kami menekankan konsep 'adopt don't shop' dengan matlamat mahu orang ramai mengambil kucing di pusat perlindungan haiwan.

"Inisiatif ini sebenarnya menyelamatkan dan memberi 'sinar' kepada dua nyawa iaitu haiwan di pusat perlindungan yang diambil untuk dibela dan haiwan jalanan lain yang boleh dibawa ke pusat perlindungan untuk dirawat dan dijaga sebelum diberikan kepada keluarga angkat," katanya pada program itu di Stesen Petronas Bandar Puteri Puchong, Puchong, baru-baru ini.

Turut hadir, pengurus syarikat berkenaan, Shahrul Shafiq Rosni dan antara aktiviti dilakukan selain kempen kesedaran ialah pameran kucing dan mencanting batik.

HAIWAN jalanan juga boleh menjadi comel kalau dijaga dengan betul.
HAIWAN jalanan juga boleh menjadi comel kalau dijaga dengan betul.

Mohd Firdaus Aizam berkata, kempen itu dilakukan di 10 lokasi stesen Petronas di sekitar Lembah Klang secara berperingkat yang bermula pada 1 Februari lalu hingga 12 Mac depan.

"Ia bukan saja bagi meningkatkan kesedaran mengenai haiwan jalanan, tetapi turut menyumbang kepada S. I Shelter yang dimiliki Nurul Ain.

"Dalam setiap pembelian dua botol produk kami, sumbangan 64 gram makanan disalurkan kepada pusat perlindungan haiwan," katanya.

Sementara itu, Nurul Ain tidak dinafikan kucing jenis berbaka dilihat lebih comel dan menarik dengan bulu yang cantik selain turut lebih menarik perhatian orang ramai untuk dipelihara berbanding kucing baka biasa serta jalanan.

MOHD Firdaus Aizam (kanan) bersama Shahrul Shafiq (dua dari kanan) pada program kesedaran mengenai haiwan jalanan.
MOHD Firdaus Aizam (kanan) bersama Shahrul Shafiq (dua dari kanan) pada program kesedaran mengenai haiwan jalanan.

"Kami mahu mendidik masyarakat untuk memandang semua haiwan itu sama biarpun daripada jalanan atau berbaka, malah sebenarnya haiwan jalanan juga boleh menjadi comel dan memiliki bulu yang cantik kalau dijaga dengan betul.

"Kami tidak mahu orang memandang kucing berbaka dan yang cantik saja selain kami mahu menekankan budaya 'adopt don't shop' supaya kucing

lain juga boleh mendapat perhatian dan isu lambakan kucing dapat diatasi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Februari 2024 @ 6:30 AM