GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Sebanyak 821 kes kemalangan jalan raya direkodkan di Kuala Lumpur dan Putrajaya dengan tiga kemalangan maut yang menyebabkan tiga kematian direkodkan sepanjang tempoh Op Selamat 21.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, Op Selamat 21 sempena Tahun Baharu Cina secara rasminya berakhir semalam.

Menurutnya, Polis Kuala Lumpur menggunakan pendekatan Op Selamat 21 pada tahun ini dengan memberi tumpuan kepada kawalan lalu lintas di sekitar Pusat Bandaraya Kuala Lumpur selain mengurangkan kadar kemalangan sepanjang musim perayaan.

"Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur (JSPT KL) menggerakkan seramai 140 kekuatan dengan pecahan lapan pegawai kanan dan 132 pegawai rendah polis bagi membuat pemantauan di 50 lokasi 'hotspot' dan 11 lokasi 'blackspot' sepanjang Op Selamat 21.

"Sepanjang tempoh Op Selamat 21, sebanyak 821 kes kemalangan jalan raya direkodkan di Kuala Lumpur dan Putrajaya dengan tiga kemalangan maut yang menyebabkan tiga kematian," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sebanyak 26,714 saman dikeluarkan dan 36 buah motosikal disita atas pelbagai kesalahan dalam 19 operasi yang diadakan.

"Pihak polis juga berjaya membuat 20 tangkapan yang membabitkan kesalahan seperti 11 kes kes samseng jalanan (Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987); lima kes membabitkan ulat parkir (Seksyen 50(3) Akta Pengangkutan Jalan 1987) dan dua kes pemalsuan dokumen (Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955).

"Satu kes membabitkan dadah yang disiasat mengikut Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya dan satu kes air ketum (Seksyen 30(3) Akta Racun)," katanya.

Katanya, Polis Kuala Lumpur menasihatkan kepada pengguna jalan raya sentiasa mematuhi undang-undang tidak kira semasa atau selepas musim perayaan bagi memastikan persekitaran yang selamat untuk semua lapisan pengguna jalan raya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Februari 2024 @ 8:45 PM