GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Sebanyak 1,455 kes kemalangan direkodkan pada hari keenam pelaksanaan Op Selamat 21 yang bermula 8 Februari lalu hingga semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, daripada jumlah itu, sebanyak lapan kemalangan maut direkodkan dengan lapan kematian sepanjang tempoh berkenaan.

Katanya, sebanyak 1,786 kenderaan terbabit dalam kemalangan jalan raya sepanjang tempoh berkenaan.

"Kes kemalangan jalan raya direkodkan meningkat sebanyak 194 kes daripada 1,261 kes dicatatkan pada hari kelima Op Selamat 21.

"Bagi kemalangan maut pula, kes dicatatkan menurun sebanyak tujuh kes berbanding 15 kes direkodkan semalam.

"Kematian direkodkan akibat kemalangan jalan raya pula mencatatkan penurunan sebanyak sembilan orang berbanding 17 orang, semalam," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Azman berkata, jumlah kenderaan yang terbabit kemalangan menunjukkan peningkatan sebanyak 201 kenderaan daripada 1,558 kenderaan direkodkan, semalam.

"Kita menyeru dan menasihatkan semua pengguna jalan terutama penunggang motosikal sentiasa peka dan berhati-hati ketika berada dalam pergerakan lalu lintas.

"Orang ramai dinasihatkan supaya mematuhi peraturan jalan raya dan mematuhi arahan dan bekerjasama dengan petugas trafik di lapangan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Februari 2024 @ 12:21 PM