GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Asrol Awang


Kuantan: Sebanyak 17 kematian direkodkan dalam kemalangan sempena Op Selamat ke-20 di negeri ini bermula 20 hingga 27 April lalu.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, ia menunjukkan peningkatan tiga kematian berbanding 14 kematian direkodkan pada Op Selamat tahun lalu.

"Analisis menunjukkan kemalangan maut berlaku di kawasan bukan dikenal pasti sebagai lokasi 'blackspot', sebaliknya di jalan biasa dan jalan kampung.

"Sepanjang tempoh itu, sebanyak 656 kemalangan jalan raya direkodkan iaitu penurunan 34 kes berbanding Ops Selamat tahun lalu yang merekodkan 690 kes," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sepanjang operasi itu, beliau berkata, sebanyak 2,300 saman dikeluarkan atas pelbagai

kesalahan.

Menurutnya, seramai 10 individu ditahan atas kesalahan memandu secara melulu dan merbahaya, memandu di bawah pengaruh alkohol, menggunakan nombor pendaftaran palsu dan kesalahan mengikut Akta Racun 1952.

"Pendekatan dalam melaksana Op Lancar menunjukkan kejayaan dalam memastikan kelancaran aliran lalu lintas di jalan utama dapat ditangani dengan lebih cekap dan berkesan.

"Polis Pahang akan terus komited dan beriltizam memastikan keselamatan serta keselesaan semua pengguna jalan raya terutama ketika musim perayaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Mei 2023 @ 2:21 PM