AZMAN Hashim (kiri) dimasyhurkan sebagai Canselor UCMI, yang baharu.
AZMAN Hashim (kiri) dimasyhurkan sebagai Canselor UCMI, yang baharu.
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Tokoh korporat, Tan Sri Azman Hashim dimasyhurkan sebagai Canselor Kolej Universiti Antarabangsa MAIWP (UCMI), yang baharu, sempena Majlis Konvokesyen UCMI kali ke-14 pada 13 Januari lalu.

Majlis diadakan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC) itu juga menyaksikan pemasyhuran Profesor Emerita Datuk Dr Asma Ismail sebagai Pro-Canselor.

Majlis pemasyhuran itu disempurnakan oleh Tan Sri Mohd Daud Bakar selaku Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Ia bersempena dengan Majlis Pemasyhuran Canselor dan Pro-Canselor Pertama yang julung kali diadakan sejak penubuhan UCMI pada 1993.

Pemasyhuran Canselor dan Pro-Canselor UCMI dilakukan selepas pelantikan itu diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Pelantikan Azman sebagai Canselor UCMI dilihat satu pilihan tepat kerana pencapaian dan sumbangannya kepada negara, menjadikan beliau antara tokoh yang amat disegani.

Kejayaan Azman dalam membangunkan Ambank mengangkat beliau sebagai pengasas yang berjaya dan berpengaruh dalam industri kewangan tempatan.

"Beliau (Tan Sri Azman Hashim) tidak hanya berjaya dalam bidang perbankan tetapi juga dalam pembangunan ekonomi Malaysia menjadikan beliau tokoh yang amat disegani di Malaysia.

"Sementara, Asma pula bukanlah nama yang asing dalam dunia pendidikan kerana sumbangan beliau kepada sistem pendidikan tinggi dan ekosistem pembangunan sains mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa.

"Asma berjaya dalam penemuan saintifik yang membawa kepada penghasilan 16 paten dikomersialkan di seluruh dunia serta menghasilkan ujian diagnostik pantas demam tifoid dipanggil TYPHIDOT, yang turut disokong oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)," katanya dalam satu kenyataan media.

Pelantikan kedua-dua tokoh itu mampu menjadi pemangkin kepada usaha UCMI untuk mencapai taraf universiti penuh menjelang 2025.

Seramai 1029 graduan yang layak menamatkan pengajian menerima ijazah sarjana muda, diploma dan sijil merangkumi pelbagai bidang dalam majlis konvokesyen berkenaan,.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 January 2024 @ 10:15 AM