Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin menyerahkan watikah pelantikan sebagai pro-Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) kepada Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor di Istana Negeri Sabah hari ini. FOTO BERNAMA
Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin menyerahkan watikah pelantikan sebagai pro-Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) kepada Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor di Istana Negeri Sabah hari ini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kota Kinabalu: Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor dilantik sebagai Pro-Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang baharu bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa 1 Januari 2021.

Watikah pelantikan disampaikan oleh Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin merangkap Canselor UMS dengan disaksikan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UMS Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan dan Naib Canselor UMS Profesor Datuk Dr Taufiq Yap Yun Hin dalam satu majlis di Istana Negeri Sabah hari ini.

Dengan pelantikan itu, UMS kini mempunyai dua Pro-Canselor termasuk Pengerusi Eksekutif Amcorp Group Berhad Tan Sri Azman Hashim yang dilantik pada November 2018.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis itu, Abdul Rahman berkata, pelantikan Hajiji adalah untuk menggantikan bekas Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

"Dengan pelantikan sebagai Pro-Canselor, kita berharap kedudukan beliau (Hajiji) dapat mengeratkan lagi hubungan antara kerajaan negeri dan UMS dalam membangunkan agenda pendidikan di Sabah.

"Sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, saya berharap hubungan rapat antara kedua-dua pihak mampu merangka banyak program kesejahteraan rakyat, selain UMS dapat menjadi mata dan telinga kerajaan negeri dalam membentuk dasar untuk membangunkan negeri ini," tambahnya.

Katanya UMS mempunyai ramai tokoh pengajar yang mampu memberikan buah fikiran mereka dalam membantu membangunkan Sabah dari pelbagai segi termasuk ekonomi, sosial dan kebajikan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Mac 2021 @ 3:08 PM