TUNKU Ali (dua dari kiri) dan Tan Sri Rafiah (paling kiri) dilantik sebagai Pro-Canselor UKM yang baharu. FOTO Ihsan
TUNKU Ali (dua dari kiri) dan Tan Sri Rafiah (paling kiri) dilantik sebagai Pro-Canselor UKM yang baharu. FOTO Ihsan
BERNAMA

Kuala Lumpur: Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz dan Tan Sri Rafiah Salim dilantik sebagai Pro-Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang baharu.

UKM pada kenyataan memaklumkan, perisytiharan lantikan itu disempurnakan oleh Canselor UKM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir pada Majlis Konvokesyen ke-51 UKM semalam.

"Kedua-dua tokoh ini mempunyai latar belakang yang berbeza dan amat berpengalaman dalam bidang masing-masing.

"Kehadiran mereka bersama dengan Pro-Canselor sedia ada iaitu Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali, sudah pasti akan memantapkan pengurusan UKM dalam merencana masa hadapan UKM," titah baginda.

Baginda dalam majlis itu turut menitahkan agar semua warga UKM sentiasa mendokong aspirasi penubuhan universiti tersebut dan misi serta visi penubuhan institusi berkenaan seharusnya menjadi penggera kepada sebuah anjakan paradigma, dalam usaha memperkembangkan sektor pendidikan tinggi di rantau ini.

Titah Tuanku Muhriz, sebagai universiti watan yang berperanan dalam memperkasa agenda negara bangsa, UKM memikul tanggungjawab yang sangat besar kepada negara.

"Oleh itu, pendidikan di UKM harus dijelmakan berdasarkan ekosistem pendidikan kebangsaan yang meliputi semua aspek kemanusiaan," titah baginda.

Tunku Ali Redhauddin aktif dalam pelbagai aktiviti membabitkan institusi pendidikan, pertubuhan bukan kerajaan dan bidang pelaburan, selain menganggotai Ahli Lembaga Pengarah di beberapa syarikat di bawah pelaburan TPG Capital, termasuk CVS KL, Pathology Asia Holdings dan Colombia Asia.

Menurut kenyataan, baginda sentiasa melaksanakan tanggungjawab kepada masyarakat dengan penuh amanah menerusi pembabitan dalam pelbagai aktiviti.

"Tunku Ali Redhauddin juga tidak pernah berkira untuk berkongsi pengalamannya dalam memberi bimbingan, dorongan dan pendedahan kepada pelajar dan juga golongan profesional muda mahupun yang masih di bangku sekolah," menurut kenyataan.

Rafiah pula pernah dilantik sebagai Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia pada 1995 dan adalah rakyat Malaysia pertama dipilih menjadi Timbalan Setiausaha Agung, Pengurusan Sumber Manusia, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) daripada 1997 hingga 2002.

Majlis Konvokesyen UKM ke-51 menyaksikan 7,255 graduan menerima ijazah masing-masing di Dewan Canselor Tun Abdul Razak bermula semalam, hingga 30 November ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 November 2023 @ 2:36 PM