Siti Aminah Mohd Yusof


Georgetown: Kebanyakan restoran nasi kandar popular di bandar ini cenderung menutup perniagaan mereka atau hanya membenarkan pesanan bawa pulang sepanjang tempoh empat hari gangguan air berjadual di Pulau Pinang, bermula esok.

Pengurus Restoran Deen's Maju Nasi Kandar, Mohamed Ismail Seeni Mohamed, berkata ini kali pertama pihaknya terpaksa 'bercuti' buat sementara waktu disebabkan masalah bekalan air dan menjangka kehilangan perolehan jualan mencecah RM50,000.

"Kami perlu banyak air misalnya untuk mencuci kira-kira 150 ayam dan 200 kilogram beras setiap hari tidak termasuk untuk mencuci peralatan dan kegunaan pelanggan.

"Kalau buka juga, kami takut timbul pelbagai masalah kerana kami sendiri tidak pasti berapa banyak air yang perlu disimpan dalam tempoh tersebut.

"Kepada semua peminat Deen's Maju, kami minta maaf terpaksa tutup empat hari bermula jam 9.30 malam ini," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengurus Restoran Nasi Kandar Pokok Ketapang, Mohammad Uvas Mohammad Jamil, berkata pihaknya awal-awal lagi membuat keputusan untuk menghentikan operasi sejak pengumuman isu gangguan air oleh Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), 8 Disember lalu.

"Kami fikir punya fikir, rasa macam susah nak simpan air. Jadi kami bagi semua 15 pekerja cuti bermula esok sampai Ahad ini. Jadi tak perlu pening kepala macam mana nak buat kalau tiada air nanti.

"Tak apalah nak buat macam mana walaupun kami jangka hilang pendapatan cecah RM30,000. Hari biasa, kalau tiada masalah, kami buka setiap hari dari jam 6 pagi hingga 8 malam kecuali hari raya," katanya.

Sementara itu, wakil pengurusan Restoran Hameediyah, Shazwani Abdul Rahim berkata pihaknya sanggup membelanjakan RM18,000 untuk menyewa 30 tangki air dengan kos RM600 setiap satu daripada syarikat swasta untuk kegunaan restoran cawangan di Lebuh Campbell, di sini.

"Ketika ini, kesemua tangki dengan kapasiti 300 liter setiap satu sudah penuh diisi air. Kami telah merancang selama kira-kira dua minggu dan buat masa ini memutuskan hanya menerima pesanan untuk bawa pulang," katanya.

Dalam pada itu, pemilik kafe Tea Kadai di Lebuh Queen, Mohamed Rizwan Abdul Ghafoor Khan, berkata pihaknya akan menggunakan bekas minuman dan makanan pakai buang dan akan menggunakan air mineral sepanjang tempoh tersebut.

"Kami mendapati harga sekotak air mineral yang biasanya dibeli pada harga RM9.50 naik kepada RM10.50 minggu ini disebabkan permintaan tinggi.

"Kami juga sudah mula mengedarkan 2,000 botol air berisipadu 1,500 milliter setiap satu secara percuma bukan sahaja kepada pelanggan malah kepada orang ramai khas sempena peristiwa gangguan air ini," katanya.

Pengurusan Restoran Hameediyah menyewa 30 tangki menjelang gangguan bekalan air berjadual disebabkan pemabaikan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua bermula esok di sini, hari ini. FOTO AMINAH YUSOF
Pengurusan Restoran Hameediyah menyewa 30 tangki menjelang gangguan bekalan air berjadual disebabkan pemabaikan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua bermula esok di sini, hari ini. FOTO AMINAH YUSOF

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 January 2024 @ 10:01 PM