GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Sebanyak 142 kawasan di Wilayah Petaling dan Klang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual berikutan berlakunya paip pecah di Seksyen 15, dekat sini, semalam.

Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menerusi kenyataan di Facebook memaklumkan, kejadian itu dikesan berpunca daripada kerja pembangunan jalan berdekatan Lebuhraya Persekutuan oleh pihak ketiga.

Menurut kenyataan itu, Air Selangor perlu menjalankan kerja kecemasan bagi pembaikan paip pecah berkenaan yang akan bermula jam 3 petang hari ini.

"Kerja pembaikan ini akan mengakibatkan gangguan bekalan air tidak berjadual di 142 kawasan di Wilayah Petaling dan Wilayah Klang.

"Kerja pembaikan ini dijangka siap sepenuhnya pada jam 3 pagi esok (27 Januari) dan bekalan air akan mula disalurkan secara berperingkat-peringkat kepada premis pengguna setelah kerja-kerja pembaikan siap dilaksanakan.

"Tempoh masa pemulihan bekalan air kepada pengguna adalah berbeza dari satu kawasan ke kawasan lain bergantung kepada lokasi dan jarak premis pengguna," kata kenyataan itu.

Mengulas lanjut, Air Selangor memaklumkan bantuan alternatif melalui lori tangki akan digerakkan ke kawasan yang terjejas, dengan memberi keutamaan kepada premis kritikal sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual itu.

"Air Selangor ingin memohon kerjasama orang ramai untuk mematuhi penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka semasa mendapatkan bekalan air daripada lori-lori tangki.

"Pengguna boleh merujuk semua saluran komunikasi rasmi kami seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Air Selangor di talian 15300 untuk mendapatkan maklumat terkini dari semasa ke semasa. Sebarang pertanyaan dan aduan juga boleh diajukan di Help Centre di laman web www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor," jelas kenyataan

itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 January 2022 @ 3:30 PM