Zuhainy Zulkiffli


Bayan Lepas: Rangkaian Restoran Hameediyah di sini, menjadi restoran nasi kandar pertama di Pulau Pinang yang menawarkan hidangan Menu Rahmah Mac ini.

Hidangan yang ditawarkan berupa nasi kosong berlaukkan sayuran dan ayam atau daging, termasuk minuman air sirap.

Pengurusnya, Muhammad Salim Ahmad Seeni Pakir, 31, berkata, menu berkenaan sebelum ini biasanya ditawarkan pada harga RM8.50, tidak termasuk minuman.

Katanya, menu berkenaan pada masa ini hanya ditawarkan di restoran cawangannya di Sungai Ara sebelum diperkenalkan di cawangan lain termasuk di Lebuh Chulia pada bulan sama.

"Hidangan ini akan ditawarkan pada jam tertentu setiap hari serta tidak mensasarkan jumlah jualan.

"Harga jualan menu pada harga RM5 itu masih boleh mendatangkan keuntungan dan kami akan sentiasa mengemaskini mengenai tawaran hidangan di laman sosial Facebook Hameediyah Restaurant.

"Kami menyambut baik usaha kerajaan memperkenalkan program Menu Rahmah dan ini adalah usaha kami bagi menyertai saranan kerajaan selain membantu rakyat, " katanya ditemui di sini, hari ini.

Muhammad Salim ditemui pada pelancaran Menu Rahmah di restoran berkenaan.

Hadir sama Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Pulau Pinang S Jegan, Ketua Pegawai Penguatkuasa negeri, A Mogan dan Pengarah Urusan Restoran Hameediyah Ahamed Seeni Pakir Abdul Shukkor.

Mengulas lanjut, Muhammad Salim berkata, bagi Menu Rahmah, pihaknya akan meneliti semula kaedah jualan itu selama tiga atau empat bulan selepas ia diperkenalkan.

"Tiga atau empat bulan selepas dilancarkan, kaedah jualan Menu Rahmah akan diteliti semula kerana ia bergantung kepada faktor bahan mentah di pasaran," katanya.

Muhammad Salim berkata demikian ketika mengulas laporan media berkaitan kenyataan Pengarah Urusan Mydin Datuk Ameer Ali Mydin, yang memaklumkan program Menu Rahmah tidak akan bertahan lebih tiga bulan jika kos bahan mentah meningkat dan berharap kerajaan melakukan sesuatu bagi menyelesaikan isu terbabit.

Sementara itu, Jegan berkata, ketika ini, 19 restoran dan kedai makan di sekitar Pulau Pinang sudah mengambil bahagian dalam program Menu Rahmah yang mana kebanyakannya ialah kedai makan dengan menu lauk campur.

"Kita sudah menghubungi banyak restoran tetapi ada yang di bawah persatuan tertentu dan ia mengambil sedikit masa kepada mereka bagi membuat keputusan.

"Ia bergantung kepada kemampuan pengusaha restoran itu sendiri dan sekiranya ada (restoran) yang mahu mengambil bahagian, boleh hubungi KPDN bagi tindakan selanjutnya," katanya.

gambar:

1- 14 FEBRUARI 2023. BAYAN LEPAS. Pengurus Restoran Hameediyah Sungai Ara, Muhamad Salim Ahamed Seeni Pakir ketika ditemui selepas pelancaran program Menu Rahmah di Restoran Hameediyah Sungai Ara, Bayan Lepas di sini. VIDEO/MIKAIL ONG

2- BAYAN LEPAS 14 FEBRUARI 2023. Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), S Jegan (dua dari kanan), pemilik Restoran Hameediyah, Ahamed Seeni Pakir Abdul Shukor (kanan) dan Pengurus Restoran Hameediyah Sungai Ara, Muhamad Salim Ahamed Seeni Pakir (dua dari kiri) menunjukkan sepinggan nasi putih, ayam goreng dan sayur kubis pada pelancaran program Menu Rahmah di Restoran Hameediyah Sungai Ara, Bayan Lepas di sini. NSTP/MIKAIL ONG

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Februari 2023 @ 2:29 PM
S Jegan (dua dari kanan), Ahamed Seeni Pakir Abdul Shukor (kanan) dan Muhamad Salim Ahamed Seeni Pakir (dua dari kiri) menunjukkan sepinggan nasi putih, ayam goreng dan sayur kubis. FOTO Mikail Ong
S Jegan (dua dari kanan), Ahamed Seeni Pakir Abdul Shukor (kanan) dan Muhamad Salim Ahamed Seeni Pakir (dua dari kiri) menunjukkan sepinggan nasi putih, ayam goreng dan sayur kubis. FOTO Mikail Ong