Zuhainy Zulkiffli

Bayan Lepas: Penduduk Flat Taman Sahabat resah apabila perumahan yang mereka duduki mengalami tekanan air rendah sejak dua hari lalu.

Masalah itu bukan sahaja berlaku susulan gangguan bekalan air yang dijadualkan bermula Rabu ini, namun ia didakwa berlaku sejak lebih setahun lalu.

Penduduk, Syaripuddin Abd Rahman, 47, berkata, masalah itu berlaku terhadap penduduk di tingkat tiga dan empat namun ada sebahagian penduduk di aras dua mengalaminya.

Penjaja makanan itu mendakwa, dua tangki besar di flat berkenaan tidak berfungsi menyebabkan mereka menggunakan air dari paip yang disalur ke rumah.

"Bagi penduduk aras bawah dan tingkat satu tidak mengalami gangguan, namun bagi kami yang tinggal di tingkat atas, ia amat menyusahkan.

"Boleh dikatakan masalah air berlaku setiap minggu terutama pada waktu pagi hingga tengahari dan adakala sehingga jam 8 malam barulah air kembali normal.

"Air yang keluar dari paip sangat perlahan dan adakalanya setitik pun tidak ada," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Jamaliah Yusoff menyimpan air dalam pelbagai bekas bagi menghadapi gangguan bekalan air berjadual pada Rabu ini. FOTO ZUHAINY ZULKIFFLI
Jamaliah Yusoff menyimpan air dalam pelbagai bekas bagi menghadapi gangguan bekalan air berjadual pada Rabu ini. FOTO ZUHAINY ZULKIFFLI

Sementara itu, penduduk Jamaliah Yusoff, 51, berkata, dia menggunakan pelbagai bekas termasuk botol sabun yang dicuci bersih bagi menyimpan air.

Katanya, persediaan menyimpan air sudah dilakukan sejak gangguan bekalan air selama enam hari pada bulan lalu.

"Beberapa hari lepas, saya dan anak mengangkut air ke rumah kami di tingkat tiga dan akibat keletihan, saya mengalami demam berpanjangan.

"Ini bukan masalah baharu dan sudah habis kudrat kami bagi mengangkut dan menyimpan air susulan gangguan bekalan bakal menjelang," katanya yang tinggal bersama empat lagi ahli keluarga.

Tinjauan di flat berkenaan mendapati kebanyakan penduduk sudah menyimpan air di dalam pelbagai tong dan bekas di kaki lima.

Terdapat lima blok yang menempatkan seramai kira-kira 500 penduduk dan kesemuanya mengalami masalah yang sama.

Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Datuk Azrul Mahathir Aziz berkata, pihaknya sudah menyediakan dua tangki besar di penempatan itu termasuk tangki air bergerak sepanjang gangguan bekalan.

"Kita usahakan inisiatif ini walaupun tidak semua tempat dapat kita sediakan (tangki air)," katanya ketika dihubungi di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 January 2024 @ 12:32 AM