ANWAR bersalaman bersama kakitangan awam yang hadir pada Majlis Ramah Mesra Bersama Perdana Menteri di Labuan hari ini. Turut hadir, Hajiji (dua, kiri) dan Pengerusi Perbadanan Labuan Senator Tan Sri Anifah Aman (kiri). FOTO Bernama.
ANWAR bersalaman bersama kakitangan awam yang hadir pada Majlis Ramah Mesra Bersama Perdana Menteri di Labuan hari ini. Turut hadir, Hajiji (dua, kiri) dan Pengerusi Perbadanan Labuan Senator Tan Sri Anifah Aman (kiri). FOTO Bernama.
Rafiqah Dahali


Labuan: Satu persidangan bagi mencari jalan mengangkat semula peranan Labuan dalam memacu ekonomi negara dengan lebih berkesan akan diadakan selewat-lewatnya akhir Januari atau Februari tahun hadapan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata persidangan itu bakal membabitkan di antara Bank Negara, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Bursa Malaysia.

Menurutnya, sejak beberapa tahun ini, beliau tidak melihat sebarang inisiatif baharu bagi membangunkan Labuan meskipun terdapat beberapa cadangan yang dikemukakan untuk memacu ekonomi wilayah persekutuan itu.

Antaranya ialah cadangan seperti pembinaan jambatan yang menghubungkan Labuan dan Sabah.

"Soalnya, tahun-tahun kebelakangan ini tidak ada inisiatif baru di Labuan, jadi seolah-olah agak tersisih dari arus pertumbuhan dan perkembangan negara.

"Ada beberapa cadangan, insya-Allah kita boleh kemukakan cadangan. Jambatan (Jambatan Labuan) ini memang cadangan lama kita namun kena tahu, kos (pembinaan jambatan) dalam kajian terbaru melebihi RM6 bilion.

"Tentu kita boleh merancang dan lihat keupayaan tetapi peralihan jumlah penduduk itu tidak memungkinkan (jambatan dibina) jadi tentu ia mengambil masa kita dalam rancangan pembangunan Labuan ini.

"Kita mengambil langkah menyegerakan hal-hal yang harus disegerakan. Bagi saya apa yang paling utama adalah bekalan air di Labuan," katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

Mengulas lanjut, Anwar berkata beliau tidak dapat menerima kenyataan negara sedang memacu pertumbuhan ekonomi termasuk di Labuan tetapi masalah asas seperti air masih tidak selesai.

"Sebab itu bila ditanya berapa jumlah, peruntukan awal yang kita berikan untuk Labuan adalah RM300 juta semata-mata untuk bekalan air," katanya.

Selain itu, beliau turut berkata bermula Januari tahun hadapan, semua kementerian, jabatan dan menteri diarahkan untuk memainkan peranan membangunkan semula Labuan.

"Saya beritahu bermula Januari tahun depan, semua kementerian, jabatan persekutuan dan menteri akan bergilir datang ke Labuan.

"Setiap kementerian mesti ada projek dan peranan untuk membangunkan semula Labuan sebagai pusat negara," katanya.

Beliau menyifatkan perkara terbabit adalah pendekatan yang bersifat lebih realistik dan praktikal dalam usaha membangunkan semula Labuan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Disember 2023 @ 8:43 PM