ZULKAFPERI ketika ditemui pada sidang media selepas program Jualan Termurah Madani dan Mini Karnival Kesihatan Parlimen Tanjong Karang di Taman Sahabat, hari ini. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin
ZULKAFPERI ketika ditemui pada sidang media selepas program Jualan Termurah Madani dan Mini Karnival Kesihatan Parlimen Tanjong Karang di Taman Sahabat, hari ini. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin
Amirul Aiman Hamsuddin


Tanjong Karang: Program jualan murah hanya boleh dilakukan sekiranya Ahli Parlimen dari pembangkang menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ahli Parlimen Tanjong Karang, Kapten (B) Datuk Dr Zulkafperi Hanapi berkata, sebelum ini ketiadaan peruntukan menyukarkan beliau untuk menganjur sesuatu program, meskipun menang di kawasan yang ditandingi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) lalu.

"Saya mengakui, selepas memberi sokongan (kepada Anwar) barulah program seumpama itu boleh dianjurkan.

"Saya memohon maaf kepada rakyat kawasan Tanjong Karang, bukan saya tak nak buat program (sebelum ini) tetapi kita (Ahli Parlimen pembangkang) tak mampu lakukan apa-apa," katanya, hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas program Jualan Termurah Madani dan Mini Karnival Kesihatan Parlimen Tanjong Karang di Taman Sahabat, di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari dan Pengerusi Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal.

Terdahulu, Amirudin merasmikan program itu yang julung kali diadakan di Parlimen Tanjong Karang.

Media pada 24 Januari lalu melaporkan, Zulkafperi mengumumkan menyokong pentadbiran Anwar dan Kerajaan Perpaduan selepas menyedari keperluan kepada kestabilan politik dan kelancaran pemulihan ekonomi negara serta menginsafi keperitan kehidupan rakyat dengan kos sara hidup yang menghimpit ketika ini.

Pada kenyataan sama, beliau menegaskan masih setia sebagai ahli Bersatu dan tidak akan mengkhianati parti itu selain pengisytiharan sokongan itu dibuat tanpa paksaan dan tekanan daripada mana-mana pihak.

Zulkafperi adalah Ahli Parlimen Bersatu yang keenam menyokong Anwar selepas Kuala Kangsar, Jeli, Gua Musang, Bukit Gantang dan Labuan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Februari 2024 @ 8:12 PM