DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob ketika tiba di Lapangan Terbang Labuan hari ini. FOTO BERNAMA
DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob ketika tiba di Lapangan Terbang Labuan hari ini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Labuan: Pelan Pembangunan Labuan 2030 mampu membawa pelbagai pembangunan ekonomi di pulau bebas cukai ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata pelan pembangunan yang dilancarkan pada 2018 itu sudah dirangka merangkumi kepelbagaian pembangunan fizikal dan sektor ekonomi bagi memacu pembangunan ekonomi Labuan.

"Pelan Pembangunan Labuan 2030 sudah dirangka untuk memenuhi keperluan sektor ekonomi sedia ada dan bakal diwujudkan.

"Sekiranya kesemua (projek pembangunan) dilaksanakan, Labuan tidak perlu bergantung kepada sektor minyak dan gas (O&G)," katanya kepada pemberita selepas berucap pada Majlis Amanat Jelajah Keluarga Malaysia di Dewan Konvensyen Kompleks Ujana Kewangan di sini hari ini.

Beliau berkata lima hala tuju yang dirangka dalam pelan pembangunan itu antara lain memberi fokus kepada pembangunan sektor perniagaan dan kewangan Labuan, sejajar dengan sumbangan pendapatan (melalui pungutan cukai) kepada negara daripada sektor ini.

"Selain itu, pelan pembangunan ini turut memberi penekanan kepada sektor O&G serta sektor pelancongan yang boleh memacu ekonomi Labuan ke tahap membanggakan.

"Sektor pendidikan juga antara yang diberi perhatian dalam pelan pembangunan ini bagi memperkasakan pembangunan modal insan di sini," katanya.

Ismail Sabri turut menyentuh isu bekalan air dan beliau berkata lapan projek pemulihan (penggantian paip usang) dan naik taraf loji rawatan air dilaksanakan pada tahun ini.

"Kerajaan sedar kesulitan yang dihadapi rakyat di Labuan dan kerajaan sudah semestinya akan berbuat sesuatu demi kebajikan rakyat," katanya.

Perdana Menteri berkata cadangan projek pembinaan Kolej MRSM di Labuan sudah lama diluluskan dan seharusnya boleh dilaksanakan berikutan tanah tersedia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Oktober 2022 @ 9:09 PM