RAJA Zarith Sofiah (dua kanan) pada Majlis Konvokesyen UTM. FOTO Nurul Amanina Suhaini
RAJA Zarith Sofiah (dua kanan) pada Majlis Konvokesyen UTM. FOTO Nurul Amanina Suhaini
Nurul Amanina Suhaini


Johor Bahru: Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah bertitah menasihatkan graduan supaya tidak melupakan jasa ibu dan bapa yang banyak berkorban dalam memastikan mereka berjaya sehingga tamat pengajian.

Baginda bertitah, hargailah mereka, curahkanlah kasih sayang serta perhatian kepada ibu bapa selagi mereka masih ada.

"Sebagai penghargaan atas segala pengorbanan, didikan, bimbingan, nasihat dan kasih sayang mereka yang tiada penghujung.

"Saya berdoa agar para graduan semua akan berjaya mendapatkan pekerjaan yang diidamkan selama ini.

"Bagi graduan yang ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi, saya ucapkan semoga maju jaya dan teruskan harapan ibu bapa serta mengejar impian anda sehingga berjaya," titah baginda ketika merasmikan sesi pertama konvokesyen Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ke-64 di sini, hari ini.

Raja Zarith Sofiah yang juga Canselor UTM turut berharap dalam kegembiraan meraikan kejayaan, janganlah dilupakan mereka di luar sana yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

"Masih ramai yang hidup dalam keadaan serba kekurangan kerana kehilangan pekerjaan, kematian ahli keluarga, juga kerana pelbagai sebab yang lain.

"Saya berharap agar kita semua yang berkemampuan dapat bersama-sama membantu dalam menghulurkan apa-apa jua pertolongan dan sumbangan agar kehidupan golongan yang terjejas ini terbela," titah baginda.

Terdahulu, majlis konvokesyen turut menyaksikan sesi pengisytiharan Pro-Canselor Universiti yang baharu, iaitu isteri Tunku Mahkota Johor, Che' Puan Khaleeda Bustamam.

Pada konvokesyen kali ini, 8,956 graduan menerima anugerah masing-masing iaitu 748 orang bagi Ijazah Doktor Falsafah; 1,915 (Ijazah Sarjana); 4,326 (Ijazah Sarjana Muda); empat (Ijazah Anumerta); 719 (Diploma Sepenuh Masa) dan 1,248 (Diploma Program Kerjasama UTMSPACE).

Dari jumlah itu, 812 orang adalah graduan antarabangsa dari 54 negara.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Disember 2021 @ 12:37 PM