GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Abnor Hamizam Abd Manap


Jempol: Suri rumah yang mendapatkan rawatan tradisional membuang saka dengan seorang pengamal perubatan, di sini mendakwa dicabul lelaki itu ketika sedang berubat.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, kejadian berlaku ketika wanita berusia 50 tahun itu berkunjung ke rumah suspek di Kampung Bukit Kerdas di sini, sendirian pada 4.30 petang, Khamis lalu.

Katanya, mangsa yang mengenali suspek berusia 65 tahun diarah minum segelas air dan berbaring di atas tilam yang diletakkan di beranda rumah.

"Ketika rawatan itu, suspek menjerit bertanya asal usul mangsa sambil menekan badan mangsa yang turut dibantu oleh isterinya.

"Isteri suspek kemudian masuk ke dalam rumah dan ketika itu suspek didakwa memasukkan tangan ke dalam pakaian mangsa serta mencabulnya," katanya dalam kenyataan.

Hoo berkata, mangsa membuat laporan di Balai Polis Batu Kikir pada Jumaat lalu dan suspek ditahan untuk siasatan Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

"Dia bagaimanapun dilepaskan dengan jaminan polis atas faktor kesihatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 November 2023 @ 7:06 PM