Abnor Hamizam Abd Manap


Jempol: Aktif pecah masuk rumah dan kedai selepas berhenti kerja halal. Jenayah didalangi seorang remaja berusia 18 tahun itu terbongkar apabila suspek akhirnya diberkas polis.

Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Hoo Chang Hook berkata, suspek berusia 18 tahun itu ditangkap di hadapan Pusat Perniagaan Kiara Square, Bahau di sini, jam 2 pagi tadi.

Katanya, ketika disoal siasat suspek mengaku melakukan jenayah berkenaan di sekitar Bahau dan Batu Kikir selepas berhenti bekerja dari sebuah kedai aksesori kereta di Bahau.

"Suspek memberitahu mengambil keputusan berhenti kerja kerana tidak suka dimarahi majikannya.

"Susulan itu suspek melakukan empat kes pecah rumah dan kedai bermula 26 Mei lalu hingga semalam sebelum diberkas polis," katanya.

Susulan tangkapan itu, polis berjaya menemui dan merampas pelbagai barangan digunakan untuk pecah masuk premis antaranya besi kuku kambing, pemutar skru panjang, kunci motosikal, motosikal jenis Honda EX5, ,wang tunai RM308 dan telefon pintar.

"Turut dirampas permainan dron, satu kamera digital, satu komputer riba, seutas jam tangan, dua utas rantai leher, seutas rantai tangan, tiga bentuk cincin, sehelai baju Melayu dan rim motosikal.

"Suspek dipercayai melarikan barang berharga bernilai RM28,000. Dia kini direman empat hari untuk siasatan mengikut Seksyen 6 (1) Akta Bahan - Bahan Kakisan Dan Letupan Dan Senjata Berbahaya 1958 dan Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Mei 2021 @ 8:21 PM