KERETA dinaiki suspek berkenaan. FOTO Ihsan Polis
KERETA dinaiki suspek berkenaan. FOTO Ihsan Polis
Abnor Hamizam Abd Manap
am@hmetro.com.my


Jempol: Tindakan dua lelaki yang merentas negeri atas alasan untuk membeli makanan segera di Bandar Bahau membongkar rahsia mereka sebenarnya memiliki dadah.

Ia selepas kedua-duanya yang berusia 39 tahun ditahan polis di sekatan jalan raya (SJR) di Taman Sornam, dekat sini, pada 2.30 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Hoo Chang Hook berkata, kedua-dua suspek berasal dari Kemayan, Pahang dan Batang Kali, Selangor.

Katanya, ketika pemeriksaan, mereka gagal mengemukakan sebarang surat kebenaran rentas negeri sebelum pemeriksaan lanjut di dalam kereta dinaiki suspek, menemukan dadah di bahagian brek tangan.

"Polis merampas dua peket plastik heroin anggaran berat 110.5 (g) dan dua peket plastik syabu dengan anggaran berat 13.25 g.

"Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek dari Kemayan, Pahang dan dipercayai membeli bekalan dadah di Batu Kikir, sebelum mahu pulang semula ke Kemayan," katanya di sini, hari ini.

Chang Hook berkata, kedua-dua suspek yang berkerja sebagai buruh itu turut memiliki rekod kesalahan lampau berkaitan dadah.

Katanya kesemua dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM5,193.

"Kedua-dua suspek direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B dan 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Selain itu, mereka masing-masing dikenakan kompaun RM5,000 mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Jun 2021 @ 8:47 AM