Foto yang diambil pada 23 Januari 2024 ini menunjukkan pekerja memulihkan kapal yang karam di Sungai Yangon di Yangon. FOTO AFP
Foto yang diambil pada 23 Januari 2024 ini menunjukkan pekerja memulihkan kapal yang karam di Sungai Yangon di Yangon. FOTO AFP
AFP

Yangon: Junta Myanmar menggantung pengeluaran permit untuk rakyat tempatan lelaki bekerja di luar negara.

Tindakan itu selepas beberapa minggu mereka memperkenalkan undang-undang kerahan tentera yang menyebabkan ribuan cuba meninggalkan negara itu.

Kementerian Buruh menggantung sementara permohonan daripada lelaki yang ingin bekerja di luar negara.

"Langkah itu diperlukan untuk mengambil lebih banyak masa bagi mengesahkan proses berlepas dan mengikut isu lain," kata kementerian itu dalam satu kenyataan yang disiarkan pasukan penerangan junta, semalam.

Lebih 4 juta warga Myanmar bekerja di luar negara pada 2020, menurut anggaran Pertubuhan Buruh Antarabangsa memetik angka daripada kerajaan ketika itu.

Penganalisis berkata, lebih ramai lagi dijangka akan bekerja di luar negara.

Junta, yang sedang bergelut untuk menumpaskan penentangan bersenjata yang meluas terhadap pemerintahannya, pada Februari berkata, pihaknya akan menguatkuasakan undang-undang untuk memanggil semua lelaki berkhidmat dalam tentera sekurang-kurangnya dua tahun.

Tindakan itu menyebabkan ribuan beratur untuk mendapatkan visa di luar kedutaan asing di Yangon manakala yang lain menyeberang ke negara jiran Thailand untuk melarikan diri dari undang-undang, menurut laporan media.

Undang-undang perkhidmatan tentera dirangka junta sebelumnya pada 2010, namun tidak pernah dikuatkuasakan.

Ia membolehkan tentera memanggil semua lelaki berumur 18 hingga 35 dan wanita berumur 18 hingga 27 untuk berkhidmat sekurang-kurangnya dua tahun.

Undang-undang itu juga menetapkan, semasa keadaan darurat, tempoh perkhidmatan boleh dilanjutkan sehingga lima tahun dan mereka yang mengabaikan perintah berkhidmat boleh dipenjarakan untuk tempoh sama.

Kumpulan pertama beberapa ribu rekrut sudah memulakan latihan di bawah undang-undang, menurut akaun Telegram pro-tentera.

Jurucakap junta berkata, undang-undang itu diperlukan kerana situasi yang berlaku di negara itu.

Kira-kira 13 juta orang layak dipanggil dalam perkhidmatan walaupun tentera hanya mempunyai kapasiti untuk melatih 50,000 setahun.

Lebih 4,900 orang terbunuh dalam tindakan keras tentera terhadap pembangkang sejak rampasan kuasa Februari 2021 dan lebih 26,000 yang lain ditangkap, menurut kumpulan pemantau tempatan.

Sejak itu, junta Myanmar mengumumkan keadaan darurat dengan tentera baru-baru ini melanjutkannya selama enam bulan lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mei 2024 @ 10:54 AM