GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
Abnor Hamizam Abd Manap


Jempol: Seorang lelaki bertindak keterlaluan apabila membuat laporan palsu disamun dua lelaki hanya kerana ingin menutup kesalahan sudah menggunakan wang syarikat untuk kepentingan diri.

Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Hoo Chang Hook berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki berusia 34 tahun memaklumkan disamun oleh dua lelaki menggunakan sebilah parang.

Katanya, laporan dibuat di di Balai Polis Batu Kikir jam 9.07 malam pada Isnin.

"Siasatan mendapati suspek membuat laporan disamun dua lelaki yang menaiki motosikal jam 9 malam pada Isnin di hadapan sebuah kilang di Kampung Jawa, Serting Tengah.

"Suspek mendakwa wang tunai RM3,500, sebuah telefon bimbit dan dokumen penting dilarikan dalam kejadian itu.

"Susulan itu, polis mengadakan Op Tutup membabitkan tujuh balai polis di daerah Jempol untuk mengesan penjenayah berkenaan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Hoo berkata, siasatan lanjut terhadap mangsa mendapati lelaki itu mengaku membuat laporan palsu kerana sudah menggunakan wang milik syarikat berjumlah RM2,160 bagi membayar hutang rumah dan tunggakan kereta selama tiga bulan.

Katanya, polis menunggu arahan perintah untuk menyiasat (OTI) daripada pejabat Timbalan Pendakwa Raya sebelum meneruskan siasatan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan dan akan melengkapkan siasatan sebelum dirujuk Timbalan Pendakwa Raya untuk cadangan pertuduhan.

Katanya, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat laporan palsu untuk kepentingan diri sendiri sehingga membazirkan tenaga dan masa anggota polis untuk menyiasat kejadian jenayah yang tidak berlaku.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 January 2024 @ 11:54 AM