Lokasi kejadian pokok tumbang disebuah pusat rekreasi yang mengorbankan kanak-kanak empat tahun dan mencederakan kakaknya. Foto Ihsan Polis.
Lokasi kejadian pokok tumbang disebuah pusat rekreasi yang mengorbankan kanak-kanak empat tahun dan mencederakan kakaknya. Foto Ihsan Polis.
Abnor Hamizam Abd Manap


Jempol: Kanak-kanak lelaki berusia empat tahun maut selepas dihempap pokok tumbang dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Hoo Chang Hook berkata kejadian berlaku di sebuah pusat rekreasi di kawasan Batu Kikir.

Katanya, seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun yang juga kakak mangsa turut mengalami kecederaan.

"Siasatan awal polis berdasarkan keterangan bapa mangsa, kedua-dua anaknya dibawa ke pusat rekreasi itu untuk mandi-manda.

"Mangsa pada awalnya mandi di kolam kanak-kanak namun ketika pergi ke bapanya yang berada di kawasan berhampiran kolam, pokok tiba-tiba tumbang dan menghempap kedua-dua mangsa,"katanya dalam satu kenyataan.

Hoo berkata mangsa meninggal dunia ditempat kejadian akibat kecederaan parah pada badan dan kepala.

Katanya, kakak mangsa dirujuk ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Februari 2024 @ 10:49 PM