GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Abnor Hamizam Abd Manap


Jempol: Polis menangkap seorang remaja sekali gus menyelesaikan empat daripada 11 kes pecah rumah dan kedai yang dilaporkan berlaku pada 26 Mei hingga hari ini.

Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Hoo Chang Hook berkata, suspek berusia 18 tahun itu ditangkap di hadapan Pusat Perniagaan Kiara Square, Bahau pada jam 2 pagi tadi hasil risikan. Katanya, ketika disoal siasat, suspek mengaku melakukan jenayah di sekitar Bahau dan Batu Kikir selepas berhenti bekerja di sebuah kedai aksesori kereta di Bahau kerana tidak suka dimarahi majikannya.

"Berikutan dengan tertangkapnya suspek, polis merampas pelbagai barangan antaranya beg sandang, kuku kambing, pemutar skru panjang, kunci motosikal, motosikal jenis Honda EX5, beg pinggang, wang tunai RM308 dan telefon bimbit.

"Selain itu permainan dron, kamera digital, satu laptop, seutas jam tangan, dua utas rantai leher, seutas rantai tangan, tiga bentuk cincin, sehelai baju Melayu, sepasang sport rim motosikal antara yang dirampas polis.

Chang Hook berkata, kerugian dianggarkan sebanyak RM28,000 dan suspek direman empat hari bermula hari ini sehingga Khamis ini.

Katanya, polis menyiasat kes mengikut Seksyen 6 (1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 serta Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Mei 2021 @ 7:36 PM