Gambar Hiasan
Gambar Hiasan
Oleh Abnor Hamizam AbdManap


Jempol: Pembantu ladang berusia 27 tahun cedera dipukul oleh lelaki yang yang dipercayai suami kepada seorang wanita pada kejadian di sekitar Felda Sungai Lui di sini, jam 3 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Hoo Chang Hook berkata, terdahulu, mangsa didatangi dua individu yang menaiki sebuah kereta di rumahnya di Felda berkenaan.

Katanya, mangsa kemudian dibawa masuk ke dalam kereta dan pulang selepas kira-kira setengah jam dalam keadaan cedera.

"Siasatan awal mendapati, mangsa dipukul suspek berusia 57 tahun yang memperkenalkan diri sebagai suami kepada 'Anis'.

"Punca mangsa dipukul ialah, suspek dikatakan tidak berpuas hati berikutan mangsa masih menjalin hubungan dengan isterinya yang berusia 26 tahun.

"Isteri suspek adalah bekas teman wanita mangsa," katanya hari ini.

Chang Hook berkata, mangsa dipukul dengan menggunakan sebatang kayu dilengan kiri serta kanan selain kanan kepala.

Kata beliau, kakak mangsa yang terkejut dengan keadaan mangsa sebaik pulang ke rumah membuat laporan di Balai Polis Sungai Lui.

"Berikutan itu, kami menahan suspek dan anak lelakinya berusia 20 tahun jam 4.15 pagi tadi di Felda Pasir Besar, Gemas.

"Kami turut merampas sebuah Perodua Bezza, kunci kereta dan sebatang rotan," katanya.

Kes disiasat mengikut mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Ogos 2021 @ 12:54 PM