GUAN Eng (tengah) bersama Betty hadir ke Mahkamah Tinggi Pulau Pinang untuk membatalkan tuduhan rasuah membabitkan projek asrama pekerja asing bernilai RM11.6 juta. FOTO Mikail Ong
GUAN Eng (tengah) bersama Betty hadir ke Mahkamah Tinggi Pulau Pinang untuk membatalkan tuduhan rasuah membabitkan projek asrama pekerja asing bernilai RM11.6 juta. FOTO Mikail Ong
Siti Aminah Mohd Yusof


Georgetown: Mahkamah Tinggi Pulau Pinang hari ini menolak permohonan Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, isterinya Betty Chew Gek Cheng dan ahli perniagaan Phang Li Koon untuk membatalkan pertuduhan rasuah membabitkan projek asrama bernilai RM11.6 juta.

Pesuruhjaya Kehakiman, Rofiah Mohamad, berkata berikutan itu perbicaraan kes akan diteruskan memandangkan terdapat perbezaan ketara dalam kesalahan yang didakwa berlaku membabitkan maklumat serta individu berbeza.

Menurutnya, ini meliputi tarikh, kedudukan atau jawatan tertuduh semasa kesalahan yang dikatakan berlaku membabitkan suapan bagi manfaat pihak berbeza dengan jenis kesalahan yang berlainan.

"Oleh itu, syarat pemakaian doktrin iaitu pertuduhan adalah sama atau membabitkan fakta serta pembuktian yang sama dan seharusnya boleh ditangani dalam prosiding pertama tidak dipenuhi.

"Mahkamah tidak sepatutnya mengambil pendekatan yang simplistik kerana adanya perkembangan perundangan yang meluaskan pemakaian doktrin ini," katanya ketika membacakan keputusan penghakiman, hari ini.

Rofiah berkata, meskipun 25 saksi sudah dipanggil memberikan keterangan dalam prosiding sebelum ini, tiada sebarang dapatan dibuat oleh mahkamah berdasarkan keterangan saksi atau fakta yang terbukti melalui perbicaraan itu.

Ini termasuk dapatan sama ada tertuduh bersalah atau tidak atas pertuduhan yang dikenakan terhadapnya memandangkan kes berkenaan masih lagi berada pada peringkat sambung bicara.

"Dalam kes ini tiada sebarang dapatan mengenai kebersalahan atau pun tidak bersalahnya tertuduh atas penilaian keterangan yang dibuat oleh mahkamah dalam prosiding pertama tersebut," katanya.

Rofiah turut menyatakan Peguam Negara mempunyai budi bicara sepenuhnya untuk mendakwa sesiapa yang dianggap bersalah, dan jika pihak pembelaan ingin mencabarnya satu penilaian kehakiman harus difailkan.

"Kalau pun budi bicara AG (Peguam Negara) ini boleh dihujahkan sebagai tidak mutlak, namun bagi mencabar keputusan AG pada hemat mahkamah haruslah dibuat melalui permohonan penelitian kehakiman dan bukannya melalui permohonan melalui notis usul di sini.

"Atas alasan ini juga, permohonan di dalam kedua-dua notis usul ini adalah ditolak," katanya.

Kes dikendalikan oleh barisan Timbalan Pendakwa Raya yang diketuai Syed Faisal Syed Amir serta dibantu Ashrof Adrin Kamarul dan Shafiq Hasim.

Pasukan pembelaan diketuai Datuk V Sithambaram, RSN Rayer, Ramkarpal Singh, A Ruebankumar dan Thandayuthabany Pillay.

Mei tahun lalu, Rayer memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa beliau akan memfailkan permohonan supaya kes membabitkan Guan Eng, Li Koon dan Betty dibatalkan.

Kes berkenaan membabitkan projek asrama yang dianugerahkan kepada syarikat yang dikaitkan dengan Li Koon ketika Guan Eng menjadi ketua menteri.

Guan Eng didakwa memberi suapan bernilai RM372,009 kepada Chew melalui Excel Property Management & Consultancy Sdn Bhd bagi memastikan Magnificent Emblem Sdn Bhd memperoleh projek itu di Juru dan Batu Kawan.

Sementara itu Rayer ketika ditemui di luar mahkamah berkata kemungkinan besar pihaknya mengemukakan permohonan rayuan di Mahkamah Rayuan serta memohon penangguhan prosiding perbicaraan.

"Pertuduhan ini sudah dibicarakan di mahkamah pada 2016 dan 2017 dan pertuduhan baharu ini berasaskan kepada dokumen sama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mei 2024 @ 10:58 AM