TOTTORI bukan berasal dalam kalangan ahli perniagaan elit.
TOTTORI bukan berasal dalam kalangan ahli perniagaan elit.
Agensi

Tokyo: Pelantikan Mitsuko Tottori sebagai Ketua Pegawai Eksekutif baharu Japan Airlines (JAL) pada Januari lalu, mencipta gelombang kejutan di seluruh sektor korporat Jepun, lapor BBC.

Ia memandangkan bos wanita pertama JAL itu memulakan kerjayanya sebagai kru kabin di syarikat penerbangan berkenaan pada 1985.

Penyimpangan daripada tradisi ini mencetuskan pelbagai reaksi termasuk tajuk berita yang meraikan pencapaian Tottori.

Menurut BBC, latar belakangnya berbeza dengan ketara daripada profil biasa eksekutif tertinggi JAL. Ini kerana beliau tidak berasal dalam kalangan ahli perniagaan elit yang lazimnya dilantik ke jawatan berkenaan.

Sebaliknya, Tottori, 59, hanya berkelulusan kolej rendah wanita. Ia jauh berbeza dengan individu lepasan universiti berprestij yang sering dikaitkan dengan kepemimpinan korporat di Jepun.

Pelantikan wanita ini juga menandakan peristiwa penting dalam kepelbagaian jantina dan keterangkuman dalam landskap korporat Jepun.

Bagaimanapun, Tottori menyatakan keinginan untuk dipandang sebagai individu dan bukannya semata-mata melalui lensa jantina.

Namun begitu, beliau mengakui perhatian terhadap pelantikannya mengiktiraf kepentingan peranannya sebagai pelopor untuk wanita dalam kepemimpinan.

Ketika ditemu bual CNN, beliau berkata: "Jepun masih berada di tempat untuk menetapkan matlamat awal dalam menambah (bilangan) pengurus wanita.

"Saya berharap Jepun tidak lama lagi akan menjadi tempat di mana orang ramai tidak terkejut apabila seorang wanita menjadi presiden.

"Kami benar-benar mahu meningkatkan bilangan pengurus (wanita) secara serius, dan lebih daripada itu, saya fikir adalah penting untuk wanita sendiri mahu aktif, jadi saya sangat berharap untuk melihat lebih ramai lagi (mereka) pada masa hadapan," tambahnya.

Pengumuman pelantikan wanita itu sebagai Ketua Pegawai Eksekutif juga mengikuti rapat selepas insiden mengerikan yang membabitkan perlanggaran antara pesawat JAL dan pesawat pengawal pantai, pada tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 April 2024 @ 8:00 AM