GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Jabatan Perumahan Negara (JPN) mengisytiharkan sebanyak 83 projek membabitkan 16,246 unit Rumah Mampu Milik (RMM) sebagai 'projek sakit' setakat September lalu.

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming berkata, projek perumahan swasta 'sakit' ditafsirkan sebagai projek yang mengalami kelewatan melebihi 30 peratus berbanding kemajuan yang sepatutnya atau tamat tempoh Perjanjian Jual Beli (PJB).

"Melalui rekod JPN sehingga 30 September 2023, sebanyak 83 projek (16,246 unit rumah) RMM dikategorikan sebagai 'projek sakit' sehingga 30 September 2023.

"Daripada jumlah itu sebanyak 12 projek perumahan (6,220 unit rumah) di bawah inisiatif kerajaan negeri serta lima projek (715 unit rumah) Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).

"Selain itu, sebanyak 10 projek (1,667 unit rumah) PR1MA, lima projek (2,411 unit rumah) Program Perumahan Penjawat Awam (PPAM) manakala bakinya, 51 projek (5,233 unit rumah) lagi di bawah projek perumahan swasta," katanya dalam jawapan bertulis di laman web Parlimen

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) berkaitan jumlah projek RMM berstatus 'projek sakit' serta langkah diambil bagi menyelesaikan isu berkenaan.

Nga berkata, kementerian mewujudkan pasukan jawatankuasa khas Projek Perumahan Swasta dan Terbengkalai (TFST) dalam memantau projek perumahan swasta berlesen.

Beliau berkata, KPKT turut melaksanakan beberapa inisiatif antaranya membantu memulihkan atau melancarkan (pembinaan) projek sakit dengan mengadakan pemantauan, lawatan tapak serta libat urus bersama agensi teknikal dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

"Isu teknikal seperti penyiapan komponen infrastruktur, bekalan elektrik, lampu jalan, jalan raya serta sistem kumbahan dibincangkan dan dimudah cara bersama semua pihak terbabit sehingga projek memperoleh Sijil Perakuan Siap (CCC) atau Sijil Layak Menduduki (CFO).

"Selain itu, senarai projek perumahan sakit iaitu projek tamat tempoh Perjanjian Jual Beli (PJB) yang pertama akan dikenal pasti sebelum dipaparkan kepada umum di portal perumahan setempat iaitu Sistem Bank Data Perumahan Negara (Teduh).

"Senarai projek ini boleh dijadikan panduan bakal pembeli rumah dan pihak pembiaya sebelum meluluskan sesuatu pinjaman perumahan baharu dan mengawal bayaran kemajuan kepada pemaju sedia ada," katanya.

Katanya, pembekuan akaun pemajuan perumahan (Housing Development Account (HDA) juga dilaksanakan bagi mengelak pemaju melakukan pengeluaran wang secara tidak bertanggungjawab.

"Langkah menyenarai hitam pemaju dan Ahli Lembaga Pengarah dan menyekat pemaju projek sakit daripada memohon Permit Iklan dan Jualan (APDL) yang baharu selagi projek sakit sedia ada belum disiapkan dengan CCC Penuh.

"Bagi projek sakit yang tiada kemajuan kerja di tapak dalam tempoh yang lama, projek ini disahkan sebagai projek terbengkalai selaras dengan Seksyen 11(1)(ca), Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 (Akta 118) & Peraturan-Peraturan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 November 2023 @ 3:48 PM