Akmal Nasrullah (tiga dari kiri) ketika meninjau keadaan Loji Rawatan Kumbahan (STP) Taman Mayang Fasa 2 yang diisytiharkan terbengkalai sejak 2018 di Taman Mayang hari ini. FOTO BERNAMA
Akmal Nasrullah (tiga dari kiri) ketika meninjau keadaan Loji Rawatan Kumbahan (STP) Taman Mayang Fasa 2 yang diisytiharkan terbengkalai sejak 2018 di Taman Mayang hari ini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Kangsar: Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyalurkan peruntukan berjumlah RM1.5 juta bagi menyiapkan projek menaik taraf loji rawatan kumbahan (STP) dan kerja-kerja berkaitan di tapak projek Taman Mayang Fasa 2 di sini, yang diisytiharkan terbengkalai sejak 2018.

Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata kemajuan projek yang terdiri daripada 65 unit rumah teres dua tingkat dan 22 rumah berkembar dua tingkat itu mencapai 95 peratus siap, namun gagal memperoleh Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) atau Sijil Kelayakan Menduduki (CFO).

"Ia berikutan loji rawatan kumbahan sedia ada belum mendapat sokongan serta perakuan daripada Indah Water Konsortium (IWK) kerana pihak pemaju gagal menaik taraf loji tersebut ekoran masalah kewangan dan teknikal.

"Sehubungan itu, melalui penyaluran peruntukan pemulihan projek perumahan terbengkalai di bawah Inisiatif Belanjawan 2023, kerja-kerja menaik taraf loji tersebut dijangka dapat dilaksanakan sehingga keseluruhan projek mendapat CCC atau CFO," katanya pada sidang media semasa lawatan kerja ke tapak projek perumahan itu hari ini.

Akmal Nasrullah berkata peruntukan itu disalurkan kepada kerajaan negeri dan Majlis Perbandaran Kuala Kangsar yang dilantik sebagai agensi pelaksana bagi memantau dan menyiapkan projek menaik taraf STP serta kerja-kerja yang berkaitan di tapak projek berkenaan.

Beliau berkata projek tersebut dimulakan sejak 1999 dan sepatutnya siap pada 2004.

"Pemaju asalnya telah ditamatkan lesen sementara untuk tindakan di peringkat majlis perbandaran dan kita serah kepada ruang kuasa kerajaan tempatan," katanya.

Berdasarkan statistik pemantauan pasukan Task Force Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai, terdapat lima projek perumahan terbengkalai daripada jumlah keseluruhan iaitu 114 projek direkodkan bagi negeri ini hingga 30 Jun lepas melibatkan 365 unit rumah dan 298 pembeli terkesan.

Justeru, katanya pasukan berkenaan akan terus mempergiat usaha pemantauan dan pemulihan projek terbengkalai, sakit dan lewat di seluruh negara.

Dalam pada itu, Akmal Nasrullah berkata kerajaan sedang meneliti semula Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 [Akta 118] bagi meningkatkan kecekapan pengurusan industri itu secara keseluruhan termasuk berhubung isu projek perumahan terbengkalai dan bermasalah.

Beliau berkata penelitian pindaan akta itu melibatkan peraturan serta syarat-syarat yang digariskan bagi memastikan projek perumahan terpelihara dan tidak tersasar daripada kemajuan yang sepatutnya.

Pada 14 Julai lepas, Pengerusi Persatuan Pemilik Bangunan Terbengkalai Malaysia (Victims) Dr Mohamed Rafick Khan Abdul Rahman dilaporkan berkata kerajaan perlu meneliti semula akta berkaitan perumahan yang masih lemah dan lapuk sehingga mendorong kepada berlakunya punca lambakan projek perumahan terbengkalai serta bermasalah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Ogos 2023 @ 3:41 PM