AKMAL (dua, kanan) meninjau projek perumahan semasa melakukan lawatan kerja ke tapak projek perumahan. FOTO Ghazali Kori
AKMAL (dua, kanan) meninjau projek perumahan semasa melakukan lawatan kerja ke tapak projek perumahan. FOTO Ghazali Kori
Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Kerajaan pusat meluluskan peruntukan RM3.4 juta bagi memulihkan lima daripada 12 projek perumahan yang terbengkalai di negeri ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, kerja menyiapkan projek perumahan terbengkalai bukan tanggungjawab kerajaan, sebaliknya menjadi tugas pemaju perumahan.

"Secara keseluruhan, laporan daripada pasukan petugas projek perumahan swasta mendapati terdapat sebanyak 12 projek perumahan terbengkalai dan 24 projek sakit di negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja dan meninjau tiga projek perumahan sakit, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ahmad Shah Muhamed.

Ahli Parlimen Johor Bahru itu berkata, terdapat sebanyak 435 projek perumahan sakit dan 112 projek perumahan terbengkalai di seluruh negara.

Katanya, sebanyak 92 projek sakit berjaya dibaik pulih, manakala 80 yang lain sudah memperolehi sijil kelayakan menduduki (CCC).

"Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan terus melakukan pemantauan secara berterusan bagi menangani masalah perumahan sakit dan terbengkalai di seluruh negara.

"Justeru, kita minta kerajaan negeri memberi kerjasama untuk mengenal pasti projek bersesuaian dan berupaya untuk dipulihkan tahun ini bagi kesejahteraan pembeli rumah yang terjejas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Jun 2023 @ 3:10 PM