FAZRIL (dua kiri) dan Mohammad Ashraf  (dua kanan) menunjukkan gambar taman tema air yang dijadikan penipuan pelaburan projek pelancongan di Langkawi yang membabitkan kerugian RM43 juta kepada hampir 500 orang pelabur pada sidang media di Pusat Khidmat DAP. FOTO Fathil Asri
FAZRIL (dua kiri) dan Mohammad Ashraf (dua kanan) menunjukkan gambar taman tema air yang dijadikan penipuan pelaburan projek pelancongan di Langkawi yang membabitkan kerugian RM43 juta kepada hampir 500 orang pelabur pada sidang media di Pusat Khidmat DAP. FOTO Fathil Asri
Nurul Hidayah Bahaudin dan Suharmin Yusuf

Kajang: Seorang ahli perniagaan kerugian lebih RM1 juta apabila mendakwa tidak menerima sebarang pulangan selepas menyertai pelaburan pembinaan sebuah taman tema di Pulau Langkawi, Kedah.

Mangsa yang mahu dikenali sebagai Fazril, 47, berkata dia mengetahui mengenai pelaburan itu menerusi rakannya dan membuat keputusan melabur pada 2020.

Katanya, dia dijanjikan pulangan 10 sen bagi setiap tiket taman tema itu yang terjual dan mereka memaklumkan sasaran jualan tiket mencecah ratusan ribu setiap tahun.

"Malah, saya diberitahu pelabur diberikan kiosk di dalam taman tema berkenaan menyebabkan saya tertarik untuk menyertainya.

"Namun sejak tiga tahun lalu tiada satu sen pun pulangan diterima daripada pelaburan itu sejak taman tema berkenaan dibuka tahun lalu," katanya di sidang media di Pusat Aduan DAPSY Selangor di sini, hari ini, Hadir sama Pengarah Biro Aduan Awam DAPSY Selangor Lee Wee Bin dan Timbalannya Aw Wai Kit.

Fazril berkata, dia juga tidak menerima hasil jualan kiosk yang dibukanya di taman tema berkenaan kerana ia dimasukkan terus ke dalam akaun syarikat.

"Apabila perkara ini dimajukan kepada pengarah syarikat yang juga seorang lelaki tempatan, pelbagai alasan diterima untuk menangguhkan pembayaran pulangan dan hasil jualan.

"Masalah ini menyebabkan saya sudah memberhentikan operasi kiosk di sana kerana sudah banyak kerugian yang terpaksa ditanggung bukan sahaja dari segi modal tetapi juga keuntungan jualan.

"Saya terpaksa membuat penstrukturan semula semua perniagaan saya bagi mendapatkan modal pusingan," katanya.

Seorang lagi mangsa, Mohammad Ashraf Abdullah, 48, turut berdepan nasib sama apabila tidak menerima sebarang pulangan bagi pelaburan sebanyak RM260,000 yang disertainya pada 2020.

"Berdasarkan maklumat diperolehi, pelaburan ini mempunyai hampir 2,000 pelabur termasuk dari luar negara seperti Singapura, Taiwan dan China.

"Dianggarkan jumlah pelaburan bagi kesemua pelabur itu dianggarkan kira-kira RM72 juta bagi tempoh 2017 sehingga kini," katanya.

Mohammad Ashraf berkata, pihaknya dimaklumkan bahawa lebih 300 pelabur yang tidak mendapat pulangan sudah membuat laporan polis.

"Ada pelabur mendakwa sudah menerima pulangan dari pengarah syarikat berkenaan. Namun, saya difahamkan pengarah syarikat menguruskan pelaburan itu seperti skim ponzi iaitu menggunakan modal diberikan oleh pelabur baharu kepada pelabur lama sebagai pulangan," katanya.

Beliau berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan termasuk siasatan daripada pihak polis berhubung pelaburan berkenaan.

"Kita tidak mahu ada lagi individu yang menjadi mangsa penipuan pelaburan ini yang sudah mengaut 'keuntungan' puluhan juta ringgit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 November 2023 @ 3:07 PM