Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Seorang lelaki bergelar Datuk menyamar sebagai Datuk Seri bagi menarik pelabur menyertai satu skim pelaburan forex yang menjanjikan pulangan lumayan antara 12 hingga 14 peratus nilai pelaburan setiap minggu.

Bagaimanapun, taktik lelaki berusia 40 tahun itu terbongkar selepas dia ditahan bersama sembilan lagi individu termasuk seorang wanita berusia antara 29 hingga 64 tahun dalam serbuan di sekitar ibu kota, Perak, Selangor, Melaka dan Johor, Sabtu lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, pihaknya merampas sembilan kereta bernilai RM4.6 juta dan 64 jam tangan berjenama dianggarkan bernilai RM98.9 juta dalam operasi itu.

"Selain itu, kami turut merampas lima jongkong emas seberat satu kilogram setiap satu dengan keseluruhan bernilai RM1.45 juta, satu pen (RM12,000), mata wang kripto (lebih RM21.4), wang tunai berjumlah RM100,800 dan beberapa barangan lain.

"Keseluruhan rampasan dalam operasi ini dianggarkan berjumlah hampir RM127 juta," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat JSJK di Menara KPJ, di sini, hari ini.

Mohd Kamarudin berkata, hasil siasatan dilakukan mendapati sindiket berkenaan beroperasi pada 2018 yang didalangi seorang Datuk yang mempunyai kelulusan ijazah sarjana muda dalam bidang pentadbiran perniagaan.

"Semua individu yang ditahan berperanan sebagai broker, ejen pencari pelabur, pengurus kewangan dan pemilik akaun dengan sindiket ini mensasarkan warga tempatan sebagai mangsa.

"Sindiket ini mempromosikan pelaburan berasaskan forex dengan modal minimum AS$100 (RM420) dengan kadar pulangan secara mingguan antara 12 hingga 14 peratus daripada jumlah modal dilaburkan.

"Difahamkan dalang utama mencipta laman sesawang pelaburan dengan mengupah 'programmer' untuk digunakan mangsa bagi melihat keuntungan pelaburan mereka tetapi keuntungan itu tidak dapat dipindah atau ditunaikan," katanya.

MOHD Kamarudin (kiri) menunjukkan rampasan barang mewah termasuk jongkong emas yang dirampas daripada sindiket penipuan pelaburan Forex GCG Asia, pada sidang media di Menara KPJ. FOTO Hazreen Mohamad
MOHD Kamarudin (kiri) menunjukkan rampasan barang mewah termasuk jongkong emas yang dirampas daripada sindiket penipuan pelaburan Forex GCG Asia, pada sidang media di Menara KPJ. FOTO Hazreen Mohamad

Beliau berkata, mangsa hanya menyedari mereka ditipu selepas sindiket berkenaan memutuskan komunikasi sebaik mendapat jumlah pelaburan besar dan memberhentikan operasi skim pelaburan secara tiba-tiba.

"Pelabur yang tidak berpuas hati akan merasa diperdaya kerana tidak mendapat pulangan keuntungan dijanjikan. Setakat ini, sebanyak 23 laporan diterima berkaitan sindiket pelaburan itu dengan nilai kerugian keseluruhan berjumlah RM2.9 juta.

"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 serta Akta Pencegahan Jenayah (POCA)," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, katanya, pihaknya menerima 1,671 laporan dengan kerugian berjumlah RM183 juta pada 2020 dan jumlah itu meningkat kepada 3,195 laporan membabitkan kerugian RM245 juta pada tahun lalu berkaitan penipuan pelaburan.

"Seramai 906 individu ditahan pada 2020 dan jumlah itu meningkat lebih dua kali ganda kepada 1,833 individu pada tahun lalu atas kesalahan penipuan pelaburan.

"Kini, kita mengesan taktik sindiket penipuan pelaburan yang menggunakan kaedah pelaburan yang diiklankan melalui media sosial seperti Facebook, Youtube, WeChat dan WhatsApp.

"Saya menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah percaya dengan iklan promosi di media sosial selain membuat semakan terhadap status skim pelaburan dan syarikat yang menawarkan pelaburan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 January 2022 @ 5:18 PM