MANGSA penipuan pelaburan membuat laporan di Menara SSM, Kuala Lumpur. FOTO Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil
MANGSA penipuan pelaburan membuat laporan di Menara SSM, Kuala Lumpur. FOTO Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil

 

Kuala Lumpur: "You orang ramai-ramai (buat laporan) pun tak boleh kacau saya," itu jawapan didakwa diberikan pengarah syarikat kepada mangsa penipuan pelaburan taman tema di Langkawi, Kedah.

Mangsa Fazril, 47, berkata, sehingga kini pengarah berkenaan masih bebas beroperasi seperti biasa walaupun banyak laporan sudah dibuat kepada pihak berkuasa.

Katanya, dia dan mangsa lain akan terus cuba menggunakan semua saluran perundangan yang ada bagi membawa pengarah berkenaan ke muka pengadilan.

"Baru-baru ini Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) menyatakan kes kami sudah ROA (rujuk agensi lain) iaitu Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

"Jadi hari ini 10 pelabur tampil membuat aduan di SSM secara bersemuka. Sebelum ini sudah buat laporan cuma kami mahukan tindakan lebih cepat kerana pihak sana masih berleluasa," katanya kepada Harian Metro, di sini, hari ini.

Terdahulu Harian Metro melaporkan, seorang ahli perniagaan mendakwa kerugian lebih RM1 juta apabila tidak menerima sebarang pulangan hasil pelaburan dibuatnya dalam pembinaan sebuah taman tema di Langkawi, Kedah.

Menurut mangsa, dia dijanjikan pulangan 10 sen bagi setiap tiket taman tema itu yang terjual, yang mana sasaran jualan tiket dimaklumkan mencecah ratusan ribu setiap tahun.

Mengulas lanjut Fazril berkata, hasil semakan mendapati taman tema yang dibina berkenaan tidak mendapat Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) daripada pihak berkuasa tempatan.

Katanya, apabila pelabur mempersoalkan cara pentadbiran dan pengurusan pelaburan pengarah syarikat terbabit akan memberi pelbagai alasan.

"Bila kita tanya berkenaan pelaburan, bila kita soalkan isu-isu berbangkit dia kata tiada tindakan boleh diambil terhadap dia jadi sebab itu kami mahu ambil tindakan secara sebetulnya," katanya.

Fazril berkata, segala penemuan dan bukti sudah diserahkan kepada pegawai SSM untuk tindakan selanjutnya dan berharap keadilan dapat diberikan kepada semua pelabur terbabit.

"Pengarah ini menggunakan nama-nama ahli politik berprofil tinggi termasuk menjual nama bekas perdana menteri bagi menarik pelabur selain menggunakan kenalan dan ahli keluarga untuk mencari mangsa.

"Jadi harapan kami agar SSM dan pihak bertanggungjawab dapat mengambil tindakan sewajarnya kerana kami tidak mahu benda ini terus berleluasa, kita kena hentikan, kita tidak mahu lihat dia menipu orang lain pula," katanya.

Berita berkaitan:

Polis terima 22 laporan pelaburan tema air di Langkawi, kerugian RM5.2 juta

Pelabur rugi pulangan yang dijanjikan tinggal janji

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 November 2023 @ 3:28 PM