Mohd Khairulanuar Abd Majid
Mohd Khairulanuar Abd Majid
Nazdy Harun


Kuala Terengganu: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu memindahkan seorang pesakit dari sebuah kapal persiaran yang berlabuh di perairan negeri ini awal pagi hari ini.

Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid berkata, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kuantan mengkoordinasikan 'Medivac' atau khidmat bantuan kepada pesakit kapal persiaran yang mengalami kekejangan dan epilepsi.

Menurutnya, ketika itu kapal bersauh pada kedudukan tiga batu nautika dari muara Kuala Terengganu.

Menurutnya, pesakit, Betty Lai Foong, 73, berasal dari Amerika Syarikat (AS) dilaporkan mengalami kekejangan dan epilepsi ketika berada di dalam kapal.

Katanya, berikutan itu kapal bertindak menghubungi MRSC Kuantan untuk mendapatkan bantuan bagi membawa mangsa ke hospital berhampiran.

"Sejurus Pusat Operasi Maritim Terengganu menerima laporan, bot Perkasa 1234 diaturgerak ke lokasi pertemuan bagi bantuan pemindahan pesakit.

"Pesakit dibawa ke Jeti Maritim Terengganu dan kemudian diberikan rawatan awal oleh jururawat sebelum ambulans menuju ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ)," katanya.

Menurutnya, mangsa tiba di HSNZ kira-kira 1 pagi dan bagi menerima rawatan lanjut.

Katanya, Maritim Malaysia memohon kerjasama masyarakat terutama komuniti maritim untuk melaporkan sebarang maklumat dan kejadian kecemasan yang berlaku di perairan negara ke talian MERS 999 atau 09-6224357 (Pusat Operasi) Maritim Negeri Terengganu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 November 2023 @ 2:52 PM