Antara bot nelayan Vietnam yang ditahan APMM di perairan Terengganu semalam. Foto Ihsan APMM
Antara bot nelayan Vietnam yang ditahan APMM di perairan Terengganu semalam. Foto Ihsan APMM
Zatul Iffah Zolkiply

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan dua buah bot nelayan 'hantu' bersama 27 nelayan Vietnam di dua lokasi berasingan membabitkan rampasan bernilai hampir RM2 juta.

Kedua-dua bot itu ditahan kapal peronda APMM yang melakukan rondaan Op Khas Naga Barat pada jarak 100 batu nautika dan 101 batu nautika dari Kuala Terengganu semalam.

Pengarah APMM Terengganu Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, kedua-dua bot itu ditahan kerana memiliki nombor pendaftaran yang mencurigakan selain nombor pendaftaran juga turut dipadam.

Menurutnya, pemeriksaan terhadap kedua-dua bot mendapati ada 27 nelayan Vietnam yang tidak memiliki sebarang dokumen yang sah.

"Semua nelayan termasuk tekong yang berusia antara 18 hingga 50 tahun ditahan bersama hasil tangkapan laut, diesel, bot dan peralatan menangkap ikan.

"Dua bot bersama semua nelayan yang ditahan dibawa ke jeti APMM Terengganu untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985 kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan Malaysia dan Akta Imigresen," katanya dalam satu kenyataan di Kuala Terengganu hari ini.

Muhammad Suffi berkata, tindakan menangkap dan menahan bot nelayan asing dilakukan semula oleh APMM sebagaimana pengumuman yang dibuat Ketua Pengarah APMM Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som pada 24 Jun lalu.

Katanya, tindakan itu diambil berikutan pengusiran sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak memberi kesan kepada nelayan asing.

"APMM Terengganu tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak terutama nelayan asing yang menceroboh perairan negara bagi mengaut hasil laut tanpa kebenaran yang hanya akan merugikan negara.

"Rondaan dan pemantauan akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa untuk mencegah sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang maritim," katanya.

Sebarang maklumat dan salah laku yang berlaku di perairan negara boleh dibuat dengan menghubungi talian MERS 999 atau 09-6224357 (Pusat Operasi) Maritim Negeri Terengganu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Jun 2020 @ 10:40 PM