APMM membantu mangsa. FOTO Ihsan APMM
APMM membantu mangsa. FOTO Ihsan APMM
Hanneeyzah Bariah Baharin


AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu melakukan pelayaran ihsan membawa seorang pesakit wanita warga United Kingdom ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HNSZ), Kuala Terengganu, semalam.

Pengarah Maritim Malaysia Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli, berkata, wanita berkenaan, Yat Tai, 66, mengalami serangan strok ketika berada dalam kapal persiaran mewah, Celebrity Millennium.

Beliau berkata, kapal berkenaan dalam pelayaran dari Singapura menuju ke Incheon, Korea Selatan dan berada kira-kira 56 batu nautika dari muara Kuala Terengganu.

Katanya, pihaknya menerima maklumat daripada Pusat Operasi Maritim Pahang jam 2.45 petang dan memohon bantuan untuk membawa pesakit berkenaan ke HSNZ bagi menerima rawatan.

“Bot Pengawal 16 ditugaskan bagi memberi bantuan dan tiba di Jeti Maritim Terengganu jam 6 petang.

“Pesakit yang diiringi suaminya dan jururawat kapal berkenaan kemudian dihantar menaiki ambulans ke HSNZ bagi menerima rawatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa bersiap sedia memberi perkhidmatan dan bantuan kecemasan kepada masyarakat serta agensi kerajaan ketika kecemasan atau bencana.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mac 2019 @ 10:48 AM