BOT nelayan asing yang ditahan APMM selepas menceroboh dan mencuri hasil laut negara membabitkan rampasan bernilai RM1 juta. FOTO ihsan APMM
BOT nelayan asing yang ditahan APMM selepas menceroboh dan mencuri hasil laut negara membabitkan rampasan bernilai RM1 juta. FOTO ihsan APMM
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan sebuah bot nelayan Vietnam yang menceroboh dan mencuri hasil laut negara membabitkan rampasan bernilai RM1 juta.

Bot itu ditahan kapal Maritim yang sedang melaksanakan rondaan Ops Kuda Laut pada jarak 65 batu nautika dari perairan Kuala Terengganu jam 10 pagi semalam.

Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, hasil pemeriksaan mendapati terdapat tujuh kru termasuk tekong dipercayai warga Vietnam berada di bot berkenaan.

Beliau berkata, pemeriksaan mendapati nelayan termasuk tekong berusia 28 hingga 45 tahun tidak memiliki sebarang dokumen yang sah.

"Semua nelayan ditahan bersama hasil tangkapan laut seperti ikan dan sotong, 500 liter diesel, bot dan peralatan menangkap ikan dengan rampasan dianggarkan bernilai hampir RM1 juta.

"Bot bersama semua nelayan yang ditahan dibawa ke jeti Maritim Negeri Terengganu untuk siasatan lanjut mengikut Akta Perikanan 1985 kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan Malaysia dan Akta Imigresen 1959/1963 kerana tekong dan kru tidak memiliki sebarang dokumen yang sah," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Muhammad Suffi berkata, pihaknya akan terus komited dalam menggalas tugas dan tanggungjawab walaupun cabaran keadaan cuaca yang tidak menentu terutamanya ketika peralihan monsun timur laut (MTL).

Katanya, tangkapan yang dilaksanakan bertujuan mengekang penularan wabak Covid-19 yang berkemungkinan datang dari warga asing yang menceroboh perairan negara.

"Maritim Malaysia meminta kerjasama masyarakat terutama komuniti maritim untuk melaporkan sebarang maklumat dan kejadian kecemasan yang berlaku di perairan Negara ke talian MERS 999 atau 09-6224357 (Pusat Operasi) Maritim Negeri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Februari 2021 @ 12:20 PM